‘Pandemik COVID-19 di luar kawalan’

LONDON, 1 OKT – Pakar kesihatan British semalam mengakui pandemik COVID-19 berada di luar kawalan berikutan peningkatan kes dan kemasukan pesakit ke hospital walaupun kerajaan memperketatkan sekatan bagi melarang perjumpaan sosial secara berkumpulan.

Ketua Penasihat Saintifik Kerajaan, Patrick Vallance, dalam satu sidang media berkata, sebanyak 7,108 kes dan 71 kematian menunjukkan penularan COVID-19 di United Kingdom (UK) berada di tahap semkin membimbangkan.

“Perkara ini yang pastinya sedang menuju ke arah yang salah.

“Buat masa sekarang, kami juga tidak mampu mengawalnya,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty, turut memberi amaran berikutan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) yang mencatatkan peningkatan ketara.

Seramai 42,000 terkorban akibat COVID-19 di Britain setakat ini, angka terburuk di Eropah walaupun kerajaan telah menguatkuasakan perintah berkurung sejak penghujung Mac lalu.

Pelonggaran sekatan hanya diumumkan pada Jun, namun berikutan angka kes COVID-19 terus meningkat, kerajaan telah menguatkuasakan semula larangan berhubung penganjuran perhimpunan sosial, termasuk bagi perjumpaan yang dihadiri lebih enam orang.

Sementara itu, Perdana Menteri, Boris Johnson berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan kesan akibat peningkatan kes COVID-19 di negara itu dan mengharapkan rakyat akan terus mematuhi semua peraturan yang dikuatkuasakan.

“Sekiranya kita bersatu sekarang, berkemungkinan kita dapat mengatasi impak dan langkah lain yang terpaksa diambil bagi mengatasi masalah ini,” katanya. – AFP