Pandemik COVID-19 di Perancis ‘terkawal’

PARIS, 5 JUN – Pandemik COVID-19 di Perancis kini berada dalam peringkat kawalan susulan langkah berjaga-jaga ketika menarik balik perintah berkurung yang dilaksanakan sejak Mac lalu.

Ketua Majlis Penasihat Saintifik Kerajaan Perancis, Jean-Francois Delfraissy, berkata virus itu kini terkawal walaupun masih menular.

“Virus ini masih lagi menular khususnya di sebahagian wilayah, namun penularan semakin perlahan,” katanya ketika ditemubual dengan stesen radio France Inter.

“Bagaimanapun, bilangan kematian harian berkurangan dengan purata 1,000 kes harian direkodkan kini berbanding 80,000 pada awal Mac lalu.

“Bilangan kes adalah tinggi sebelum pelaksanaan perintah duduk rumah dan penutupan operasi perniagaan dikeluarkan,” katanya.

Delfraissy, seorang ahli imunologi dan rakan penyelidiknya dilantik sebagai panel penasihat COVID-19 oleh pihak kerajaan berikutan pandemik yang membunuh 29,065 orang dan menjangkiti 152,444 mangsa di Perancis.

Dalam kajian terkini yang disiarkan semalam, Agensi Kesihatan Sante Publique France menjangkakan Perancis mempunyai 151,325 kes COVID-19 yang disahkan sehingga 2 Jun, ketika restoran dibenarkan beroperasi semula.

Bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa penularan jangkitan itu berada pada kemuncak berikutan pesakit tidak diuji secara sistematik, membuatkan jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi daripada angka rasmi. – AFP

Seorang pekerja membawa perabot di Galerie des Glaces di Chateau de Versailles di Versailles, Paris kelmarin,sehari sebelum ia dibuka semula. – AFP