Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Pandemik COVID belum berakhir

    GENEVA, 13 JULAI – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Ghebreyesus menyuarakan kebimbangan berikutan peningkatan semula kes jangkitan dan kematian akibat COVID selain trend peningkatan kes cacar monyet.

    Kes cacar monyet juga menunjukkan trend peningkatan iaitu 9,200 kes di 63 negara setakat ini, lapor agensi Anadolu.

    “Jawatankuasa Kecemasan COVID-19 mengadakan mesyuarat pada Jumaat lalu dan membuat kesimpulan bahawa virus itu kekal dilabel sebagai ‘kecemasan global’,” kata Tedros ketika sesi webinar media kelmarin, sambil menegaskan wabak itu berada pada tahap amaran tertinggi WHO.

    Jawatankuasa kini memberi perhatian terhadap sub-varian Omicron se-perti BA.4 dan BA.5 yang terus memacu gelombang kes, kadar kemasukan ke hospital dan kematian di seluruh dunia.

    “Pemantauan telah berkurangan dengan ketara – termasuk ujian dan penjujukan genom – menjadikannya semakin sukar untuk menilai kesan varian terhadap penularan, ciri penyakit, dan keberkesanan tindak balas.

    Kakitangan kesihatan semasa mengambil ujian COVID daripada seorang lelaki di Daerah Huangpu di Shanghai. – AFP

    “Di samping itu, diagnostik, rawatan dan vaksin gagal dimanfaatkan dengan berkesan.

    “Virus merebak dengan mudah, dan kebanyakan negara tidak lagi menguruskan penyakit secara berkesan berdasarkan kapasiti mereka, termasuk daripada segi kemasukan ke hospital untuk kes akut dan peningkatan bilangan pesakit pasca COVID – sering dirujuk sebagai Long COVID,” tambahnya.

    Di peringkat global, kes jangkitan COVID meningkat untuk empat minggu berturut-turut selepas angka kes menurun pada Mac lalu.

    Setakat 27 Jun hingga 3 Julai, lebih 4.6 juta kes jangkitan dilaporkan dengan 8,100 kematian.

    Lebih 546 juta kes jangkitan telah disahkan dan lebih 6.3 juta kematian telah dilaporkan di seluruh dunia sehingga 3 Julai.

    Mengenai cacar monyet, Tedros berkata: “Jawatankuasa Kecemasan untuk cacar monyet akan bersidang semula pada minggu depan dan melihat trend jangkitan, sejauh mana keberkesanan langkah-langkah pencegahan yang diambil, dan membuat saranan kepada negara dan komuniti mengenai langkah yang perlu dilakukan untuk menangani wabak itu,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...