WASHINGTON, 19 SEPT – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata dalam satu temu bual yang disiarkan semalam bahawa pandemik COVID di AS sudah berakhir.
Dengan sekatan COVID sebahagiannya telah dibatalkan di negara itu dan perjalanan kembali pulih kepada tahap sebelum pandemik, komen beliau mencerminkan status terkini masyarakat AS.
“Pandemik sudah berakhir. Kami masih mempunyai masalah dengan COVID. Kami masih melakukan banyak kerja untuk menanganinya, tetapi pandemik sudah berakhir,” beritahu Biden kepada rancangan CBS ’60 Minutes’ dalam temu bual yang dirakam ketika beliau mengunjungi Pameran Kereta Detroit pada minggu lalu.
“Jika awda perasan, tiada sesiapa pun yang memakai pelitup muka,” kata Biden, merujuk kepada pengunjung di sekitar dewan pameran.
“Semua orang nampaknya berada dalam keadaan yang baik. Jadi saya fikir sudah berubah.”
Jumlah wabak COVID berkurangan dengan ketara sejak awal penggal pentadbiran Biden dengan lebih 3,000 rakyat AS meninggal dunia setiap hari ketika itu.
Bagaimanapun, kata-kata presiden keluar beberapa minggu selepas pentadbirannya meminta pembiayaan bernilai berbilion dolar daripada Kongres untuk mengekalkan program ujian dan vaksinasi sekiranya berlaku gelombang baharu pada musim luruh. – AFP
