Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Dari perspektif Negara Brunei Darussalam, pandemik COVID-19 telah menyediakan kita dengan cabaran dan peluang dalam aspek keselamatan ubat-ubatan.
Autoriti kesihatan di seluruh dunia telah berhadapan dengan keraguan apabila vaksin diberikan dan dikatakan sebagai penyelesaian kepada hidup bersama COVID.
Tetapi pada masa yang sama, pandemik berkenaan telah menunjukkan azam dan kehendak kerajaan serta penduduk secara keseluruhan, dalam komuniti kesihatan dan saintifik kepada amalan serta advokasi berasaskan bukti mereka.
Ia termasuk meningkatkan kefahaman dan penerimaan risiko berkaitan dengan ubat-ubatan, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa berucap pada Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia yang berlangsung di Lobi 5, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.
Di samping itu, jelas beliau lagi, kesinambungan dan pengurusan penjagaan ubat-ubatan juga terjejas secara drastik oleh keperluan untuk mengurangkan kontak semasa pandemik.
“Namun begitu, sekatan sedemikian juga memaksa kita untuk meningkat serta mengemaskinikan dan berinovasi dalam amalan-amalan kita,” tambahnya
Yang Berhormat Dato berkata bahawa pandemik itu juga meletakkan tanggungjawab penjagaan kesihatan kepada pesakit dan penjaga mereka yang menghasilkan warga yang lebih bertanggungjawab dan peka.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato mengambil maklum bahawa mereka telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan keselamatan dan pengurusan ubat-ubatan yang betul melalui pelaksanaan International Patient Safety Goals 3 (IPSG3) on Medication Safety.
Beliau menerangkan, dasar IPSG3 telah dikeluarkan pada September 2020 sebelum pandemik melanda. Walaupun pelaksanaan dasar berkenaan telah terganggu tetapi beliau gembira mengetahui Unit Keselamatan Pesakit RIPAS dengan bimbingan daripada Pejabat Keselamatan Pesakit Kementerian Kesihatan serta sokongan daripada Pasukan Kejururawatan dan Farmasi akan memilih dua wad sebagai wad contoh untuk pengurusan ubat-ubatan.
Wad-wad berkenaan, jelasnya, dianggap sebagai wad contoh yang dikenali oleh pematuhan kepada dasar IPSG3 yang konsisten.
“Saya ingin menyeru wad-wad lain untuk mempelajari dan melaksanakan amalan mereka dan bagi kemudahan-kemudahan kesihatan lain untuk mengguna pakai rangka kerja ini sebagai pemangkin dan dorongan bagi perubahan,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato juga gembira mengetahui bahawa mereka akan menyelaraskan penyimpanan ubat-ubatan di seluruh negara sebagai hasil daripada laporan insiden yang telah diserahkan oleh kakitangan kepada Pejabat Keselamatan Pesakit.
Dengan penyelarasan dan inventori berkod warna, adalah diharapkan supaya mereka dapat menggelakkan kesilapan semasa pemberian dan penyediaan fasa-fasa ubat-ubatan.
Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa adalah amat penting bagi mereka yang terlibat dalam penjagaan kesihatan terutamanya mereka yang berurusan dengan ubat-ubatan, termasuk kepimpinan dan pengawal seliaan serta juga yang terlibat dalam pengurusan laporan kesilapan, untuk tidak membiarkan berlakunya budaya menyalahkan dan menuding jari.
Tetapi tegas beliau, kita harus menggalakkan pengesanan kesilapan dalam sistem untuk memastikan pembaikan berterusan dan menyeru mereka untuk bersuara jika menyaksikan sebarang isu keselamatan pesakit atau kesilapan ubat-ubatan.
Pada masa yang sama, adalah tidak kurang pentingnya bagi semua profesional penjagaan kesihatan untuk mempunyai tabiat dan nilai-nilai moral serta sikap beretika.
Ini terutamanya dalam budaya dan persekitaran kerja profesional penjagaan kesihatan supaya mereka benar-benar mengambil pendekatan proaktif kepada memupuk mentaliti keselamatan pesakit.