Pandemik pacu peningkatan transformasi digital

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Pengalaman dan cabaran Negara Brunei Darussalam terutama sekali bagi sektor pengangkutan udara dalam menghadapi pandemik COVID-19 merupakan antara perkara yang dikongsi oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof sebagai ahli kepada perbincangan panel mengenai Inclusive Innovation bersama wakil-wakil sektor penerbangan yang terdiri daripada sektor kerajaan dan swasta.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi telah menghadiri Sidang Kemuncak Penerbangan Changi 2022 (CAS 2022) yang diadakan di Sands Expo and Convention Centre, Republik Singapura pada 17 dan 18 Mei.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, hari ini, semasa perbincangan panel berkenaan, Yang Berhormat Dato turut mengongsi mengenai peluang yang diperoleh daripada pandemik dengan peningkatan transformasi digital, yang mana sasaran bagi penggunaan teknologi digital pada 2023 telah dapat dicapai pada 2020.

Beliau turut menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam akan terus berusaha menginovasi dan memajukan teknologi melalui pendekatan seluruh negara. Untuk mencapai kemajuan itu, tambahnya, ia memerlukan kerjasama yang padu dengan mengukuhkan lagi sistem keselamatan dan sekuriti ke arah menangani cabaran termasuk keselamatan siber.

CAS 2022 telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan dan Menteri yang bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama S. Iswaran.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bersama delegasi yang menghadiri CAS 2022.- Gambar serahan MTIC

Persidangan yang membawa tema Readying for Take-off: A Brighter & Cleaner Tomorrow itu juga dihadiri oleh menteri-menteri pengangkutan dari beberapa buah negara anggota ASEAN, wakil kerajaan dan juga pakar-pakar daripada sektor pengangkutan udara serta ketua-ketua pertubuhan-pertubuhan antarabangsa bagi pengangkutan udara daripada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Semasa persidangan itu, menteri-menteri pengangkutan dari rantau Asia Tenggara telah mengeluarkan dan mengguna pakai Sokongan Bersama bagi Pemulihan Sektor Penerbangan Awam, yang antara lainnya bagi mendukung usaha serta inisiatif ke arah pemulihan sektor pengangkutan udara dengan segera.

Dalam mendukung ke arah pemulihan sektor pengangkutan udara secara menyeluruh dan mampan, satu penyataan bersama juga telah dikeluarkan semasa persidangan berkenaan.

Ia antara lainnya bagi mendukung ke arah mempercepatkan pemulihan pengangkutan udara di peringkat antarabangsa serta untuk menggalakkan kelestarian alam sekitar dan mendukung pembangunan melalui inovasi inklusif.

Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa beberapa program sampingan juga telah diadakan semasa menghadiri CAS 2022 termasuk kunjungan hormat dengan TYT S.Iswaran serta perjumpaan muhibah antara Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib dan Menteri Pengangkutan, Malaysia, TYT Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.

Perjumpaan itu telah membincangkan hal ehwal dan hala tuju sektor pengangkutan udara dan darat.

Yang Berhormat Dato dan delegasi juga telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa agensi yang berkaitan dengan sektor pengangkutan di Singapura termasuk Changi Airport Group dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat.

Objektif utama lawatan berkenaan adalah untuk berkongsi dan bertukar maklumat serta mempelajari amalan terbaik dalam pembangunan sektor pengangkutan darat dan udara.

Turut menyertai delegasi dan menghadiri CAS 2022 adalah setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan dari MTIC.