Pandora sokong UNICEF perkasa wanita

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Pandora telah bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) untuk menyokong kanak-kanak perempuan dan wanita muda dengan sumber-sumber untuk memperkasa mereka dalam membuat pilihan sendiri dan mencapai impian mereka.

Sehubungan itu, di bawah inisiatif Charms for change Pandora melancarkan charm edisi terhad baharu untuk menyokong usaha UNICEF dalam memperkasa suara-suara muda dan mempromosikan kesaksamaan jantina.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pandora, diperkasa untuk membuat pilihan kehidupan yang sihat dan positif adalah kunci kepada keupayaan wanita muda untuk menjadi agen perubahan, sebagai individu dan dalam keluarga serta komuniti mereka.

Bagi Hari Wanita Antarabangsa, Pandora telah menghasilkan charm Pandora for UNICEF We Can Do Anything edisi terhad yang melambangkan sokongan daripada perempuan kepada perempuan dan wanita kepada wanita sebagai sebahagian daripada inisiatif Charm for change.

Kenyataan menjelaskan, charm edisi terhad berkenaan menyeru bagi perpaduan, yang mana ia direka dengan mengambil kira kesedaran diri, meneroka nilai-nilai diri dan membangunkan keyakinan diri.

Rekaan perak sterling gelang itu dihiasi dengan ayat The power is in me dan We can do anything dengan kristal buatan dan zirkonia kubik
biru.

Direka untuk disesuaikan dengan gelang tangan dan gelang kaki, rekaannya mengiktiraf fakta bahawa bersama kita mempunyai kuasa untuk membuat perubahan positif.

Dilancarkan di kedai-kedainya dan dalam talian pada hari ini dan dijual bagi tempoh terhad, charm berkenaan dikaitkan dengan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac, tetapi makna dan mesej di sebaliknya melangkaui hari berkenaan.

Antara 5 Mac dan 30 April, Pandora menyumbangkan €15 daripada setiap charm yang dijual, kepada UNICEF.

Charm edisi terhad sempena Hari Wanita Antarabangsa menampilkan kata-kata semangat meningkatkan keyakinan wanita. – Gambar serahan Pandora