Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pandu laju punca kemalangan bas Tanzania

    DAR ES SALAAM, 7 Mei – Satu kemalangan bas di Tanzania yang meragut 32 nyawa pelajar sekolah rendah, dua guru dan pemandu mungkin berpunca daripada memandu melebihi had laju, kata polis.

    “Siasatan awal menunjukkan kemalangan adalah disebabkan memandu melebihi had laju,” beritahu ketua polis serantau Charles Mkumbo kepada Tanzania Broadcasting Corporation lewat semalam.

    Menurut beberapa laporan penumpang dalam bas tidak memakai tali pinggang keledar pada masa kemalangan. Kemalangan berlaku pada awal semalam apabila bas terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sungai Marera di daerah Karatu berhampiran bandar utara Arusha di mana kanak-kanak belajar di Sekolah Rendah Lucky Vincent. Pelajar sekolah rendah tahun akhir itu sedang dalam perjalanan mereka untuk menduduki peperiksaan percubaan sebelum memperoleh tempat di sekolah menengah.

    “Ia adalah satu tragedi besar,” kata Innocent Mushi, pengarah sekolah. Presiden John Magufuli menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

    “Kemalangan ini menghapus impian kanak-kanak berkenaan yang bersiap sedia untuk berkhidmat kepada negara, ia amat menyakitkan untuk keluarga yang terbabit dan untuk seluruh negara,” kata Magufuli dalam satu kenyataan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda