Panduan baharu di tempat kerja Britain dikeluarkan

LONDON, 4 MEI – Perdana Menteri Britain Boris Johnson akan merangka pelan untuk melonggarkan lockdown koronavirus seluruh negara pada Ahad depan, kata laporan media, tatkala garis panduan baharu mengenai cara-cara mengekalkan penjarakan sosial di tempat kerja dikeluarkan.

Arahan tinggal di rumah yang dikenakan pada akhir Mac akan dikaji semula pada Khamis di Britain, salah sebuah negara paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19, tetapi kerajaan telahpun berkata langkah tersebut hanya akan dilonggarkan secara berperingkat.

Panduan baharu yang dirangka bersama bos syarikat dan kesatuan perniagaan, dilihat oleh BBC dan Financial Times, mencadangkan pekerja pejabat digalakkan tinggal di rumah selama beberapa bulan untuk mengelak menggunakan sistem pengangkutan.

Namun di mana kakitangan mesti datang ke pejabat, syarikat digesa menjadualkan syif, menghalang orang berkongsi meja atau alat tulis, menambah langkah kebersihan, kantin kakitangan ditutup dan mengehad jumlah orang dalam lif.

Pekerja kedai atau bank yang berurusan dengan pelanggan mesti dilindungi oleh skrin plastik, menurut cadangan, walaupun tidak adanya butir-butir mengenai jenis peralatan perlindungan yang mungkin diwajibkan ke atas pekerja lain.

Warga Britain kini diberitahu tinggal di rumah melainkan mereka perlu bekerja, membeli barangan keperluan atau bersenam, tetapi mereka mesti mengekalkan jarak dua meter di antara satu sama lain. – AFP