ISU tidur jelas sangat perlu ditangani oleh ibubapa kerana kekurangan tidur akan menyebabkan anak menjadi letih.
Keletihan akibat kekurangan tidur ini boleh membawa kepada tingkah laku berlainan seperti meragam, hiperaktif, masalah tumbesaran dan juga masalah pembelajaran.
Hampir 70 peratus anak yang berumur bawah lima tahun mengalami masalah untuk tidur awal.
Berikut adalah beberapa tips yang boleh diambil oleh ibu bapa bagi memudahkan anak untuk tidur awal dan bangun awal.
Jadual tidur dan bangun
Sediakan jadual tidur dan bangun pada anak. Beritahu dan berbincang dengan anak tentang jadual tersebut.

Tampal jadual tersebut dalam bilik tidur anak. Jangan lupa untuk sentiasa mengingatkan anak tentang jadual tersebut. Jadikan waktu tidur dan waktu bangun sebagai rutin harian anak.
Waktu tidur teratur
Sentiasa konsisten dengan masa tidur dan bangun anak. Sentiasa konsisten dengan jadual masa tidur dan masa bangun anak.
Jam biologi (biological clock) mempunyai pengaruh yang sangat besar ke atas tingkah laku tidur dan bangun seseorang kanak-kanak.
Bila kita menetapkan jadual tidur dan bangun anak, bermakna kita juga memprogram tubuh badan anak untuk tidur dan bangun pada waktu yang ditetapkan.
Keadaan ini sangat membantu memudahkan urusan tidur dan bangun anak anda.
Tidur sebentar
Galakan anak untuk tidur walaupun hanya sebentar pada waktu siang atau dikenali sebagai “daily naps”.
Daily naps ini sangat penting kepada kanak-kanak kerana kanak-kanak perlu berehat sebentar bagi memulihkan tenaga yang banyak hilang kerana aktif melakukan pelbagai aktiviti.
Kajian menunjukkan kanak-kanak yang kurang “naps” akan lebih bertingkahlaku agresif dan juga kerap terjaga pada waktu malam.
Kanak-kanak yang mendapat rehat yang cukup akan tidur dengan lebih baik pada waktu malam.
Programkan jam biologi anak.
Jam biologi atau juga dikenali sebagai jam kerja tubuh manusia adalah waktu di mana tubuh manusia berfungsi atas sesuatu aktiviti.
Jika di programkan dengan betul anak akan merasa penat bila tiba masa untuk tidur. Suasana bilik yang gelap pula akan turut membantu pengeluaran hormon tidur. Jadi ibubapa boleh menggelapkan dengan memadamkan lampu 30 minit lebih awal sebelum waktu tidur anak.
Makan awal
Sediakan jadual makan yang lebih awal sekiranya kita mahu anak masuk tidur lebih awal. Adalah sangat perlu bagi ibubapa untuk mengehadkan waktu bermain komputer dan juga waktu menonton televisyen pada anak-anak terutamanya pada waktu malam.
Makanan yang berkhasiat
Pastikan juga kanak-kanak mendapat nutrisi yang baik dan sihat. Nutrisi juga sangat mempengaruhi tahap tenaga dan tidur kanak-kanak.
Selain itu, pastikan anak tidak mengambil makanan yang mengandungi kadar protein dan gula yang tinggi sebelum waktu tidur kerana ia akan menyebabkan kanak-kanak menjadi lebih peka dan susah untuk tidur.
Malah, pengambilan makanan yang mengandungi kadar karbohidrat sebelum tidur boleh membantu anak tidur dengan lebih nyenyak.
Ruang tidur
Cipta suasana bilik tidur yang selesa untuk anak anda. Pastikan bantal, tilam dan juga selimut sesuai untuk anak.
Dalam pada itu, persekitaran dalam bilik yang kemas, bersih dengan suhu bilik iaitu tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk akan memberikan keselesaan kepada anak. Pastikan anak memakai pakaian tidur yang sesuai.