Panduan memancing ikan muara

Kawasan muara merupakan wilayah badan air yang terletak di kawasan pesisir, di mana sebatang sungai atau lebih, mengalir dan bertemu dengan laut. Kawasan ini selalunya berair masin atau ‘bahal’ bergantung dengan keadaan daripada faktor-faktor yang berbeza.

Secara amnya, kawasan muara merupakan tempat memancing yang sangat popular kerana kepelbagaian spesies ikan yang boleh didapati di kawasan tersebut yang datang singgah mengikut musim, sama ada dari laut atau sungai, untuk tujuan membiak. Tidak kurang juga spesies-spesies yang hanya boleh didapati di sana.

Perairan muara yang tenang dibandingkan dengan laut yang bergelora menjadikan ia sebagai habitat yang sangat sesuai bagi telur-telur dan anak-anak ikan membesar. Anak-anak ikan ini juga merupakan sumber makanan yang menarik perhatian ikan-ikan pemangsa yang besar.

Kawasan muara yang mempunyai struktur semula jadi dan buatan manusia seperti rumpai, bakau, dasar berbatu, tembok batu, jeti, jambatan dan lain-lain lagi, merupakan kawasan di mana ikan-ikan selalunya akan berkumpul untuk bersembunyi, mendapatkan perlindungan atau mencari makan.

Oleh yang demikian, kawasan-kawasan yang mempunyai struktur ini merupakan tempat yang popular bagi pemancing-pemancing yang berpengalaman untuk melabuhkan umpan mereka. Walaupun ‘sakit’ kerana risiko pancing tersangkut adalah besar tetapi berbaloi untuk diduga. Salah satu cara untuk mengurangkan risiko sangkut adalah dengan menyembunyikan hujung mata kail, lebih baik lagi jika disembunyikan sepenuhnya, di dalam umpan.

Bagi spesies ikan bermusim ini, pemancing haruslah peka terhadap waktu dan tempohnya seperti mengikut perubahan bulan, pasang surut, jam dan sebagainya. – Agensi

Untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang mempunyai struktur yang tenggelam adalah dengan memantau kawasan padang pancing ketika air surut besar, atau lebih baik lagi jika menggunakan imbasan sonar atau fish finder.

Walau bagaimanapun, sesetengah spesies ikan lebih suka berada di kawasan dasar berpasir dan terbuka seperti ikan pahat-pahat, pari dan sebagainya. Untuk itu awda perlulah mengetahui habitat utama spesies yang awda buru.

Setiap jenis ikan mempunyai zon selesanya yang tersendiri seperti mengikut suhu air, tahap kemasinan, kejernihan air yang tertentu, begitu juga dengan tahap kebersihannya, yakni tidak tercemar daripada sisa toksik dan kumbahan. Kualiti air di kawasan muara sentiasa berubah-ubah mengikut faktor pasang surut, angin dan turunan hujan.

Air yang terlalu jernih tidak semestinya merupakan keadaan untuk memancing yang ideal kerana ia akan menyebabkan ikan lebih berhati-hati dan susah untuk diperdayakan. Manakala air keruh pula, yang selalunya akibat air yang mengalir dari hulu setelah turunan hujan yang lebat, boleh menyebabkan ikan keluar ke laut kerana tahap kemasinan yang menurun.

Namun begitu bagi spesies-spesies ikan yang boleh hidup di air tawar dan masin, perkara ini bukanlah masalah besar. Tinggal saja lagi faktor suhu air yang boleh memberikan kesan kepada keaktifan ikan mencari makan.

Turunan hujan juga boleh menyebabkan sisa toksik dari darat seperti racun rumput, baja ladang dan lain-lain lagi bahan pencemar mengalir memasuki badan air.

Perkara ini semestinya boleh mempengaruhi hasil tangkapan awda kerana tidak semua ikan mempunyai daya tahan yang sama.

Apabila ikan-ikan yang mempunyai daya tahan rendah terhadap kualiti air merasakan perubahan ia akan berpindah ke kawasan lain atau lebih teruk lagi mati begitu sahaja.

Pelbagai spesies ikan menjadikan muara sebagai tempat persinggahannya yang datang dan pergi mengikut musim. Bagi spesies bermusim ini, pemancing haruslah peka terhadap waktu dan tempohnya seperti mengikut perubahan bulan, pasang surut, jam dan sebagainya.

Cara yang paling senang adalah bertanya dengan otai-otai tempatan yang sememangnya sudah pakar, atau awda sendiri boleh membuat kajian atau catatan berdasarkan pengalaman awda sendiri.

Sementara itu adalah penting untuk mengenal pasti makanan yang biasa dimakan oleh spesies buruan awda di habitatnya sendiri.

Meski terdapat ikan yang tidak cerewet memilih umpan, namun umpan terbaik bagi memancing di muara adalah umpan hidup atau segar yang ditangkap atau diperoleh di kawasan tersebut, seperti udang, anak-anak ikan dan lain-lain, yang sememangnya menjadi sumber makanan ikan-ikan di sana.

Jika tiada umpan alami, umpan tiruan yang menyerupai udang atau ikan sama ada jenis hard body atau soft plastic juga boleh digunakan.

Peralatan memancing ikan di muara tidak perlu rumit. Walaupun secara amnya peralatan pancing perlu diselaraskan dengan spesies buruan dan teknik pancingan, namun ‘kirikan’ dengan tali mono berkekuatan 60lb ke atas sama ada dengan batu ladung atau tidak sudah memadai untuk menjerat pelbagai spesies muara. Terus terang penulis katakan penulis sedari kecil hinggalah sekarang, lebih selesa menggunakan kirikan jika memancing muara sama ada berperahu atau di atas jambatan atau jeti.

Jika menggunakan teknik atau berada di kawasan yang memerlukan lontaran dibuat barulah set joran digunakan sekurang-kurangnya berkekuatan medium heavy panjang 5 ke 7 kaki yang digandingkan bersama reel saiz 3000-4000 dengan tali utama braided atau mono 25lb dan perambut 40lb-60lb.

Apa yang penting cukup kuat untuk menahan asakan ikan yang cuba melarikan diri masuk ke struktur lebih-lebih lagi pada pecutan pertama agar tidak berputih mata.