Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Panduan memilih baitcaster

    Oleh Raz AS

    Ramai pemancing yang berasa was-was mahupun takut untuk menggunakan baitcaster. Tidak kiralah kerana mendengar atau melihat mahupun kerana mengalami sendiri mimpi ngeri setiap pengguna baitcaster, iaitu bird nest, sudah mampu membantutkan kemahuan seseorang itu untuk menggunakan baitcast.

    Selain daripada itu, ‘susah’ menggunakannya juga merupakan salah satu faktor daripadanya.

    Meskipun baitcaster bukanlah reel terulung yang awda mesti gunakan sebagai seorang pemancing, namun tidak dapat dinafikan sesetengah teknik mahupun persembahan lebih mudah dilakukan dengan menggunakannya. Dengan latihan yang cukup, baitcaster boleh menjadi mudah untuk digunakan.

    Bagi pemancing-pemancing yang baru ingin berkenalan dengan baitcast perlu mengetahui bahawa baitcaster adalah jenis reel yang terletak di atas joran berbanding spinning reel yang dalam keadaan tergantung. Oleh yang demikian jorannya juga adalah berlainan.

    Selalunya bagi joran khusus baitcaster mempunyai trigger handle seperti picu senapang di bahagian bawahnya, dan yang paling penting lagi kedudukan tulangnya yang memberikan lenturan arah yang berlainan daripada joran spinning, demikian itu haruslah disesuaikan kombo reel dan jorannya, jangan menggunakan baitcaster bersama joran spinning atau sebaliknya, spinning reel dengan joran baitcaster kerana ia akan mengakibatkan joran mudah patah kerana melawan lenturan tulangnya.

    Berikutan ‘susah’ menggunakan baitcaster juga merupakan salah satu faktor daripada ramai pemancing yang berasa was-was mahupun takut untuk menggunakannya. – Agensi
    Tidak seperti spinning reel yang boleh dipindah kedudukan handle, satu-satu versi model baitcaster itu sama ada hanya untuk tangan kanan atau kiri. – Agensi
    Baitcaster jenis konvensional atau bulat boleh mengisikan lebih banyak tali, dan yang lebih tebal, sesuai untuk bertarung dan mengekang larian ikan-ikan kuat. – Agensi

    Sebelum mendapatkan baitcast pertama awda, awda juga perlu mengenal pasti tangan mana yang awda biasa gunakan untuk memutarkan handle reel dan versi model baitcaster yang awda ingin dapatkan tersebut. Ini kerana tidak seperti spinning reel, baitcaster tidak dapat ditukar-tukar kedudukan handle pemutar.

    Satu-satu versi model baitcaster itu sama ada hanya untuk tangan kanan atau kiri. Jika awda berada secara fizikal di kedai pancing tersebut mungkin senang sedikit melihatnya, terdapat beberapa kes yang penulis ketahui terjadi daripada kalangan kenalan penulis sendiri yang baru ingin berjinak-jinak tersalah beli versi model baitcaster secara online. Ada yang selalu menggulung dengan tangan kiri, tahu-tahu apabila datang yang dibeli ini rupanya versi untuk tangan kanan.

    Selain itu pemilihan model-model baitcaster juga perlu disesuaikan untuk kegunaan dan spesies buruan. Secara amnya, baitcast boleh didapati daripada jenis low profile atau konvensional yang berbentuk bulat.

    Pada masa kini kemungkinan besar baitcaster yang awda lihat digunakan oleh pemancing di kanan dan kiri awda itu adalah daripada jenis low profile, yang mana ia adalah baitcaster yang paling popular, terutama di kalangan pemancing-pemancing ikan air tawar dan muara.

    Baitcaster jenis low profile ini lebih kecil dan ringan menjadikannya lebih mesra pergelangan tangan, sesuai dan sudah memadai untuk spesies-spesies ikan air tawar dan muara di negara ini.

    Manakala jenis konvensional pula dapat mengisi lebih banyak tali, dan yang lebih tebal, sesuai untuk bertarung dan mengekang larian ikan-ikan yang lebih kuat.

    Nisbah gear atau gear ratio baitcaster selalunya boleh didapati di antara 5:1 hinggalah ke 9:1, namun yang biasa boleh didapati adalah 5:1, 6.4:1 dan 7:1. Apa yang dimaksudkan dengan nombor-nombor tersebut adalah, berapa kali pusing spool bagi setiap satu kali putaran handle.

    Contohnya bagi nisbah 5:1, spool tali akan berputar sebanyak lima kali bagi setiap satu putaran handle. Semakin tinggi nombornya semakin semakin laju sesuatu reel itu menggulung tali.

    Jadi yang mana harus didapatkan? Terpulang kepada teknik dan keperluan masing-masing, contohnya renangan crankbait berfungsi dengan efektif menggunakan gulungan perlahan oleh itu nisbah antara 5:1 dan 6:1 sangat sesuai. Manakala jerkbait dan topwater lure pula memerlukan gulungan laju oleh itu nisbah 7:1 ke atas sangat sesuai.

    Namun bagi pendapat penulis sekiranya awda hanya mampu atau tidak mahu mempunyai lebih daripada satu baitcaster, dapatkan yang mempunyai nisbah 7:1. Ini kerana lebih senang untuk menggulung perlahan jika inginkan aksi perlahan berbanding menggulung dengan laju demi mendapatkan aksi laju.

    Sistem brek baitcaster didatangkan sama ada dalam jenis brek magnetik yang dapat diakses dari luar sisi reel atau jenis brek centrifugal yang terletak di bahagian dalam dan diakses dengan membuka plat sisi, atau ada juga yang mempunyai kedua-duanya.

    Bagi pengguna baharu, menggunakan baitcast yang mempunyai brek magnetik adalah lebih sesuai kerana ia mudah dan cepat untuk diakses dan disesuaikan.

    Antara lain perkara yang perlu diambil perhatian sebelum membeli sesuatu baitcaster itu adalah bahan buatan rangka badannya. Badan baitcast sama ada diperbuat daripada aluminum atau grafit.

    Grafit adalah lebih ringan dan murah walau bagaimanapun tidaklah setahan buatan aluminum. Kebanyakan reel mahal diperbuat daripada aluminum.

    Selain itu rata-rata pemancing kita ‘tertipu’ dengan jumlah ball bearing pada satu-satu reel itu. Maksudnya ‘tertipu’ di sini adalah ramai yang menyangka bahawa semakin banyak ball bearing yang terdapat pada reel tersebut semakin baguslah ia.

    Sebenarnya tidak, kerana apa yang penting bukanlah jumlah ball bearing tetapi kualitinya. Jadi apa yang perlu diambil tahu adalah adakah ball bearing tersebut dilindungi daripada elemen luar seperti tertera perkataan ‘shielded’, ‘double-shielded’ atau ‘sealed bearings’ dan tahan karat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...