Panduan memilih lantai dapur

MEMILIH lantai untuk ruang dapur menjadi lebih mudah jika anda tahu caranya. Dapur antara ruang penting yang memerlukan perhatian yang serius daripada anda. Bukan sahaja daripada segi pemilihan perabot, susun atur dan hiasan malah, jenis lantai juga perlu diambil kira.

Tidak seperti ruang lain, dapur satu-satunya tempat yang sering menjadi tumpuan serta cepat kotor daripada tumpahan makanan dan sebagainya. Jadi, anda harus bijak memilih lantai yang sesuai untuk dapur bagi meringankan bebanan kerja.

Gaya hidup

Di rumah anda adalah cef jika berada di dapur. Kesibukan menyediakan hidangan untuk keluarga memerlukan anda untuk tangkas bergerak. Jadi, kebarangkalian untuk menumpahkan makanan dan menjatuhkan barang amat tinggi.

Bukan itu sahaja, sudah tentu suami dan anak-anak juga akan sibuk berulang-alik melihat anda di dapur. Bagi mengatasi masalah ini, anda harus memilih lantai jenis tahan lasak dan tidak mudah rosak. Paling penting pastikan lantai anda tidak licin dan selamat.

Tidak seperti ruang lain, dapur satu-satunya tempat yang sering menjadi tumpuan serta cepat kotor daripada tumpahan makanan dan sebagainya.

Ikut kesesuaian

Pilih lantai yang sesuai dengan rekaan dan susun atur dapur anda. Sama ada gaya moden, tradisional atau kontemporari. Keluasan ruang dapur juga perlu diambil kira termasuk, warna, reka bentuk dan jenis binaan.

Keselesaan

Jika ada gemar meluangkan masa yang lama di dapur, pilihlah lantai yang agak lembut dan tahan lasak. Lantai jenis marmar tidak sesuai dipasang jika anda mahu berdiri terlalu lama. Binaan kayu lebih sesuai bagi mengurangkan sakit atau lenguh kaki. Jika mahu lebih selesa, anda boleh lapiskan dengan karpet atau pelapik kaki yang lembut.

Mudah dicuci

Dapur pasti akan dicemari dengan kotoran seperti tumpahan atau percikan makanan. Bagi mengelakkan anda membuang masa mencucinya terlalu lama, apa kata pilih jenis lantai yang mudah diselenggarakan, dijaga dan mudah dicuci. Pastikan lantai anda diperbuat daripada bahan kalis air dan mudah menanggalkan kotoran. – Agensi