Panduan memperoleh keberkatan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Manusia tidak akan lari daripada menghadapi ujian dalam kehidupan dan ujian yang datang bukan hanya dalam bentuk kesusahan malah ujian juga datang dalam bentuk kesenangan.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath KUPU SB, Dr Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk semasa tazkirah Jumaat yang berlangsung secara maya.

Dr Haji Mohd Shahrol Azmi seterusnya mengatakan ujian kesusahan akan lebih menguji kesabaran manusia, manakala ujian kesenangan akan menguji tahap keimanan seseorang hamba itu sendiri sama ada mereka akan bersyukur atas nikmat yang diberikan atau hanyut dengan kelalaian apabila menerima nikmat-nikmat tersebut.

Sebagai persiapan menghadapi ujian kehidupan, katanya, usaha mencari keberkatan dalam setiap apa jua yang dilaksanakan perlu ada dalam diri kita iaitu sebagai benteng utama.

“Ini kerana keberkatan mempunyai makna yang cukup luas. Makna dan konsep keberkatan inilah yang perlu difahami oleh kita,” katanya dalam tazkirah anjuran Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal.

Dalam ceramah itu juga, beliau menyentuh mengenai lapan perkara yang akan menghalang manusia daripada memperoleh keberkatan iaitu tidak bertakwa, tidak ikhlas bekerja, memakan harta yang haram, tidak menginfakkan harta, memutuskan tali silaturahim dan hubungan kekeluargaan, tidak bersyukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan, melakukan kerosakan dan keburukan di muka bumi dan tidak berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.

Sebelum menutup tazkirahnya, beliau turut menyentuh mengenai ciri-ciri memperoleh keberkatan dalam hidup boleh dilihat menerusi empat perkara iaitu merasakan nikmat beramal soleh, istiqamah dalam kebaikan, merasakan kerinduan kepada Allah dan selalu sabar menghadapi ujian.

Dr Haji Mohd Shahrol Azmi semasa menyampaikan tazkirah Jumaat yang berlangsung secara maya. – Gambar serahan KUPU SB