Panduan menangani pandemik di tempat kerja

Oleh AK Zaki Kasharan

Gambar oleh Muiz Matdani

Penelitian epidemiologi berkaitan jangkitan COVID-19 yang berpunca daripada virus SARS-CoV-2 menunjukkan ia mudah tersebar melalui cecair pernafasan dan sentuhan di mana perkara ini mempunyai implikasi terhadap persekitaran tempat kerja atau perniagaan yang berkemungkinan boleh menjadi punca penyebaran jangkitan, sama ada sentuhan secara langsung atau pendedahan kepada permukaan atau objek yang tercemar (fomites).

Risiko penularan jangkitan COVID-19 akan meningkat jika pekerja atau pelanggan berkongsi kemudahan atau stesen kerja sebagai contohnya berkongsi komputer atau peranti elektronik.

Kes-kes jangkitan yang dikenal pasti setakat ini juga menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan penyebaran jangkitan daripada individu kepada individu yang lain pada peringkat awal jangkitan, iaitu apabila gejala jangkitan masih ringan atau tidak dapat dikesan secara khusus.

Walaupun bukti menunjukkan bahawa kebanyakan kes-kes jangkitan (kurang 80 peratus) mengalami gejala ringan, sebahagian kecil kes-kes jangkitan mengakibatkan komplikasi radang paru-paru teruk (severe pneumonia) yang boleh membawa maut.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam dalam Garis Panduan bagi Kumpulan Berisiko Tinggi Semasa Epidemik COVID-19 adalah mereka yang berusia 70 tahun atau lebih (tanpa mengira masalah kesihatan).

Waktu puncak atau sibuk perlu diberi perhatian ketika menangani pandemik COVID-19 agar kesesakan di pintu masuk, kawasan kerja dan pejabat dapat dielakkan.
Pekerja hendaklah menjaga kebersihan dan kerap mencuci tangan serta membersih stesen kerja mereka bagi mengelak jangkitan.

Manakala yang lain adalah mereka yang berusia 70 tahun ke bawah dan mengalami masalah kesihatan seperti penyakit pernafasan yang kronik seperti penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), emfisema atau bronkitis; penyakit asma yang tidak terkawal atau teruk; penyakit jantung, seperti kegagalan jantung, tekanan darah tinggi; strok; penyakit kencing manis atau diabetes, wanita hamil dan banyak lagi.

Mengambil kira skala pandemik dan kesan buruk penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja, beberapa faktor yang kemungkinan memberi kesan terhadap tenaga kerja dan produktiviti di tempat kerja juga perlu dipertimbangkan termasuklah ketidakhadiran pekerja, perubahan aturan kerja atau strategi perniagaan, dan gangguan bekalan atau penghantaran.

Risiko pekerja untuk terdedah kepada jangkitan COVID-19 mungkin berbeza daripada tahap tinggi, sederhana atau rendah. Tahap risiko adalah bergantung kepada jenis industri pekerjaan yang terlibat, termasuk kemungkinan untuk berada berhampiran dengan orang yang dikenal pasti atau disyaki telah dijangkiti COVID-19 (dalam jarak lingkungan 1 meter), atau sering kali berhampiran atau berinteraksi secara sosial dengan orang yang dikenal pasti atau disyaki telah dijangkiti COVID-19.

Pihak majikan perlulah mempertimbangkan dalam mengatur kesesuaian penempatan kerja bagi mereka yang menghidapi risiko tinggi kepada jangkitan. Walau bagaimanapun, keperluan untuk penjarakan sosial, mengamalkan langkah-langkah kebersihan selain mempraktikkan pengawalan dan pencegahan jangkitan dan penyebaran jangkitan adalah masih perlu dipatuhi.

Sementara itu, pihak majikan seha-rusnya mengurangkan keperluan untuk mengadakan mesyuarat secara bersemuka, sebaliknya menggunakan kemudahan seperti telekomunikasi dalam talian, menyediakan stesen kerja berjarak 1 meter.

Selain itu, majikan perlu melaksanakan waktu bekerja secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan di kawasan umum, seperti di pintu masuk dan keluar. Jika boleh, waktu melaporkan dan tamat bekerja seharusnya tidak bertembung dengan waktu sibuk (peak hour), terutama jika pekerja menggunakan pengangkutan awam. Pihak majikan perlu membenarkan pekerja untuk berehat pada waktu-waktu yang ditetapkan untuk mengurangkan kesesakan di ruang rehat, ruang makan dan kantin.

Pihak majikan perlu menangguhkan atau membatalkan semua acara atau aktiviti yang melibatkan keberadaan fizikal yang berhampiran dan berpanjangan di kalangan pekerja. Ini termasuk persidangan, seminar, latihan dan pameran.

Bagi persekitaran tempat kerja seperti industri perkilangan, majikan boleh mempertimbangkan aturan kerja secara bergilir untuk kakitangan bekerja dan memanjangkan waktu operasi bagi mengekalkan hasil pengeluaran. Sebagai alternatif, pihak majikan harus mempertimbangkan aturan kerja secara berkelompok iaitu sebilangan pekerja ditugaskan menurut kelompok tertentu (contohnya, Kumpulan A & Kumpulan B) yang akan dikerahkan mengikut jadual kerja atau di kawasan kerja yang berbeza.

Pihak majikan seharusnya tidak menggalakkan pekerja untuk berkongsi telefon, meja, bilik pejabat, atau peralatan kerja dengan pekerja lain, seboleh mungkin dan mengekalkan amalan pengemasan yang kerap, termasuk pembersihan rutin dan penyahjangkitan/disinfeksi permukaan, peralatan, dan elemen-elemen persekitaran kerja yang lain, adalah perlu selaras dengan Garis Panduan bagi Pembersihan dan Penyahjangkitan/Disinfeksi Di Tempat Kerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Majikan juga perlu memastikan pekerja yang mempunyai risiko tinggi terhadap jangkitan dan mempunyai keperluan untuk menggunakan peralatan pelindungan peribadi (PPE) turut dilatih tentang cara pemakaian, penggunaan dan menanggalkan peralatan dengan betul, termasuk ketika menjalankan tugasan semasa.

Manakala majikan juga disarankan memastikan dasar cuti sakit adalah fleksibel dan konsisten dengan panduan kesihatan awam, dan pekerja juga perlu sedar dan memahami dasar-dasar berkenaan. Dalam hal yang sama, pihak majikan juga harus mempraktikkan dasar yang fleksibel untuk membenarkan pekerja berada di rumah jika mereka sakit, berada dalam pengasingan diri, atau menjaga anggota keluarga jika diperlukan.

Majikan hendaklah memaklumkan dan menggalakkan pekerja untuk memantau tanda-tanda dan gejala diri masing-masing jika mereka mengesyaki terdapat kemungkinan terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Sementara itu, setiap pekerja juga mestilah sentiasa mempraktikkan langkah-langkah pencegahan ketika waktu bekerja seperti mematuhi langkah penjarakan sosial yang telah disyorkan; mengelakkan sapaan secara fizikal atau bersalaman/berjabat tangan; memakai penutup hidung dan mulut di tempat-tempat yang diperlukan; kerap membasuh tangan atau menggunakan gel pembasmi kuman; dan mengamalkan etika pernafasan dan batuk, dan sebagainya.

Manakala dalam usaha untuk mempraktikkan langkah-langkah kewaspadaan di tempat kerja dan mencegah penyebaran jangkitan, jika inisiatif-inisiatif seperti penempatan kerja sementara dan aturan kerja-kerja lain sebelum ini masih boleh menimbulkan risiko jangkitan yang tinggi kepada para pekerja, pihak majikan boleh mempertimbangkan agar pekerja-pekerja yang berisiko tinggi menghidapi jangkitan untuk bekerja secara alternatif seperti menggunakan telekomunikasi dalam talian dari kediaman masing-masing.

Perkara ini boleh dilaksanakan dengan syarat waktu dan hasil kerja sentiasa dipantau, selain terdapat akses jarak jauh dan perhubungan telekomunikasi ke tempat kerja dan di antara rakan sekerja.