Panduan pemakanan sihat bagi aktiviti berbasikal

Oleh Yusrin Junaidi

Sukan berbasikal bukan lagi dianggap eksklusif di kalangan rakyat terutamanya yang tinggal di Negara Brunei Darussalam, ia merupakan salah satu kaedah terbaik untuk kembali aktif bersukan setelah sekian lama tidak giat menjalani aktiviti kecergasan.

Pemakanan yang sihat memainkan peranan yang penting bagi penunggang basikal profesional dan amatur. Pemakanan yang betul sebelum, semasa dan selepas aktiviti berbasikal memberikan kesan berlainan dalam menguruskan kemampuan stamina dan secara amnya membolehkan ia berfungsi secara optimum.

Namun apakah yang kita tahu mengenai keperluan pemakanan bagi seseorang penunggang basikal? Apakah keperluan sebelum, semasa dan selepas aktiviti berbasikal? Dalam hal ini, Lader Fabbri, salah seorang ahli biologi, pakar pemakanan dan pengembang sains telah memantau diet pemakanan pasukan berbasikal kebangsaan Itali selama bertahun-tahun, telah menyunting ruangan nutrisi mengenai Rai Sport dalam beberapa edisi perlumbaan Giro d’Italia dan juga telah menerbitkan buku-buku tentang subjek berkenaan. Dalam temu ramah yang diadakan, Fabbri telahmengongsikan pengalaman beliau bagi membantu aktiviti berbasikal dijalankan sebagai satu aktiviti sihat.

Nutrisi pemakanan sebelum berbasikal

Menurut Dr Fabbri, kita perlu mengambil nutrien atau zat makanan yang membolehkan kita mengekalkan tahap gula dalam darah kita dalam keadaan stabil dan memastikan tidak ada perubahan dalam paras gula dalam darah sebelum memulakan aktiviti berbasikal.

Bercanggahan dengan kepercayaan umum, ia tidak dapat dicapai hanya dengan memakan banyak makanan yang mengandungi karbohidrat.Perkara terbaik, terutamanya bagi mereka yang berlumba, adalah untuk memakan makanan yang seimbang. Penunggang basikal perlu makan karbohidrat dalam jumlah kecil, seperti sepinggan pasta, bijirin atau roti, secara sederhana dan seterusnya menggabungkannya dengan sumber makanan berprotein, akan mengekalkan gula dalam darah dalam keadaan stabil serta rasa lebih kenyang.

Semasa berbasikal, elok juga membawa bersama snek makanan yang membekalkan tenaga. – Agensi
Penunggang basikal meminum air selepas aktiviti berbasikal. – Gambar serahan Pirelli
Sebaik-baiknya makanan yang perlu dielakkan adalah makanan yang mengandungi protein yang tinggi dan berlemak. – Agensi

Beliau mencadangkan supaya makanan berkenaan ditambah perasa dengan sedikit minyak zaitun berkualiti dan makan kira-kira tiga jam sebelum memulakan aktiviti, agar penunggang basikal tidak mengalami gangguan pencernaan dan semua nutrien telah diresapi oleh otot.

Makanan yang harus dimakan semasa berbasikal

Semasa menjalankan aktiviti bersukan, ia sebenarnya lebih mudah. Bergantung pada kepantasan dan tenaga penunggang basikal, tahap ini dapat ditangani dengan cara yang menyeronokkan.

Lazimnya, seorang penunggang basikal profesional akan menggunakan produk berteknologi tinggi seperti makanan snek atau biskut yang membekalkan tenaga dan menguji pemakanan berkenaan semasa sesi latihan mereka.

Untuk penunggang amatur pula, yang suka berbasikal dengan lebih perlahan dan menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan, perkara terbaik yang harus dilakukan adalah dengan menikmati makanan yang disukai dan sihat.

Oleh itu, singgahlah di mana-mana restoran atau kedai, atau membawa snek ringan bersama yang juga akan memuaskan selera anda, kerana anda jarang menikmati makanan sedemikian dalam kehidupan harian.

Makanan yang perlu dielakkan semasa berbasikal

Sebaik-baiknya makanan yang perlu dielakkan adalah makanan yang mengandungi protein yang tinggi dan berlemak. Sebaliknya, untuk penunggang basikal profesional, mereka disarankan untuk tidak menggunakan produk yang belum diuji oleh mereka semasa latihan dalam satu-satu perlumbaan.

Manakala selepas berbasikal, penunggang basikal mesti berusaha mengganti kesemua tenaga yang telah digunakan semasa menjalani aktiviti fizikal seberapa banyak mungkin. Terlebih dahulu, simpanan tenaga dalam otot dan hepatik glikogen perlu diganti seberapa cepat mungkin untuk mengelak kehilangan fungsi tenaga yang digunakan. Dengan itu, makanan yang perlu dimakan adalah makanan karbohidrat dalam tempoh satu jam selepas aktiviti bagi mengembalikan tenaga yang sudah digunakan.

Untuk merangsang proses anabolisme otot dan membenarkan jisim otot berkembang dan tidak binasa sendiri, penunggang basikal perlu memakan makanan protein.

Pengambilan karbohidrat yang berat dan minuman tenaga selepas aktiviti juga membantu untuk mengembalikan tenaga untuk kayuhan seterusnya.

Mengekalkan hidrasi

Selain pengambilan air yang mencukupi, minum 20 minit selepas kayuhan penting untuk tambah kembali tenaga dalam badan.

Meminum air adalah penting, tetapi kita tidak perlu terlalu gelojoh untuk meminum terlalu banyak air sebelum menunggang basikal. Semasa aktiviti, garam mineral adalah bagus untuk penunggang basikal, namun ia tidak disarankan, sebaliknya penunggang basikal digesa membawa sebotol air biasa dan juga sebotol minuman yang ditambah nutrien.

Ini adalah cara yang sangat ideal untuk kembali sihat kerana tidak ia tidak menimbulkan banyak trauma atau kecederaan, tidak seperti aktiviti larian. Bagaimanapun, penggemar sukan dinasihatkan supaya memulakannya secara berperingkat, langkah demi langkah.