Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Jejambat Lugu di persimpangan perumahan Kampung Lugu, Lebuh raya Muara-Tutong dirasmikan hari dan mula dibukakan kepada pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan tersebut atau orang ramai yang ingin menggunakan jejambat tersebut, bolehlah mengikuti peta panduan yang tertera (gambar) melalui Jalan Susur 2 untuk menghala ke Tutong dan Belait dan Jalan Susur 3 untuk menghala ke Berakas dan Muara.
Pengguna jalan raya dari Tutong dan Belait akan dapat terus memasuki kawasan perumahan Kampung Lugu menggunakan jejambat berkenaan dengan lebih selamat dan selesa melalui Jalan Susur 4.
Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan menyeru semua pengguna jalan raya khususnya pengguna Lebuhraya Muara-Tutong dan jejambat di perumahan Kampung Lugu ini untuk sentiasa memandu dengan lebih berhati-hati mengikut had laju yang ditentukan serta papan-papan tanda yang telah disediakan.