Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Berikutan larangan perkumpulan besar-besaran akibat penularan jangkitan COVID-19 pada masa ini, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan garis panduan bagi menghadiri acara pengebumian dan aktiviti seumpamanya semasa penularan wabak.
Berdasarkan garis panduan berkenaan, mereka yang mengurus dan menghadiri acara pengebumian hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan terjadinya penularan jangkitan seperti hanya ahli keluarga yang terdekat sahaja atau sesiapa yang dikenal pasti sebagai penting sahaja oleh ahli keluarga dan yang tidak melebihi 30 hingga 50 orang untuk menghadiri acara tersebut dan menziarahi secara bergilir-gilir bagi mengelakkan
kesesakan.
Di samping itu, seboleh-bolehnya laksanakan pen-jarakkan sosial sejauh 1 meter manakala itu, warga emas, mereka yang menghidapi penyakit-penyakit kronik, individu yang immunocompromised (tiada atau rendah daya sistem imun), wanita mengandung, anak-anak kecil dan kanak-kanak lima tahun ke bawah dinasihatkan untuk tidak hadir.
Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama ahli keluarga dan sahabat handai yang mengalami demam atau batuk selesema supaya tidak hadir ke acara tersebut, memendekkan atau mengehadkan masa sebaik mungkin ketika menziarahi atau menghadiri acara pengebumian serta mengehadkan jumlah me-reka yang mengurus jenazah di kawasan perkuburan dan membaca tahlil di kawasan kubur.
Selain itu juga elakkan bersalaman atau berpelukan buat masa ini, hanya sekadar ucapan takziah secara lisan.
Ucapan-ucapan takziah juga boleh disampaikan dengan cara-cara lain termasuk menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas, media sosial dan lain-lain dan semua orang yang menghadiri acara pengebumian dan ziarah perlu mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan atau menggunakan pembersih tangan dan menjaga etika batuk dan bersin setiap masa.