Wednesday, June 7, 2023
27.9 C
Brunei

    -

    Panel hakim Anugerah CIPTA 2023 diraikan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan UTB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Pertandingan Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2023 membawa tema Innovations for Sustainable Development Goals, sebagai respons kepada Agenda 2030 bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang telah diterima pakai oleh negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September 2015.

    Ia menetapkan pelan bagi respons global kepada menangani isu-isu global dengan menghapuskan kemiskinan, memerangi ketidaksamaan dan melindungi bumi dengan menangani perubahan iklim.

    Semua itu juga adalah selaras dengan Wawasan Brunei 2035, jelas Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal, Pengiran Dr Rafidah binti Pengiran Haji Petra dalam kata alu-aluannya pada Majlis Makan Malam Penghargaan bagi Panel Hakim Anugerah CIPTA 2023 yang berlangsung di Airport Mall, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada para hakim yang diraikan ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Majlis itu diadakan bersempena Minggu Penghakiman Pertandingan Anugerah CIPTA 2023 yang berlangsung dari 16 hingga 19 Mei.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah bergambar ramai bersama hakim-hakim yang diraikan pada majlis yang berlangsung di Airport Mall.
    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang hakim yang diraikan.
    Pengiran Dr Rafidah menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.

    Jawatankuasa Penganjuran Anugerah CIPTA 2023 telah mendapatkan kepakaran tiga orang hakim daripada ASEAN dan lima orang hakim daripada pelbagai latar belakang akademik dan industri untuk menilai 41 penyertaan tempatan dan tujuh penyertaan ASEAN.

    Hakim-hakim berkenaan ialah dari Malaysia iaitu Profesor Ir Ts Dr Sivarao Subramonian, Profesor Madya Dr Wan Zuha Wan Hassan dan Profesor Ir Dr Tan Chee Fai. Manakala itu, hakim-hakim tempatan ialah Ir Chin Lee Tuck, Ir Dr Tang Shi Song, Mohd Rozaini Manap, Awangku Mohd Rafiuddin bin Pengiran Saharuddin dan Moh Yee Lin.

    Kriteria umum bagi penghakiman projek-projek berkenaan termasuk kebaharuan, keaslian atau kreativiti tugasan, potensi bagi aplikasi komersial dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat, kejayaan penggunaan produk akhir serta kelengkapan laporan dan kualiti pembentangan.

    Berikutan dengan penilaian yang ketat yang dikendalikan sepanjang minggu penghakiman, pemenang-pemenang bagi Pertandingan Anugerah CIPTA 2023 akan didedahkan pada 8 Jun nanti di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    NZ ambil tindakan penggunaan vape

    WELLINGTON, 6 JUN - New Zealand akan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan vape atau rokok elektronik untuk melindungi golongan mudanya, umum Menteri Kesihatan Ayesha...
    - Advertisment -