Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Panel iklim bimbang kemusnahan terumbu sawar besar

    SYDNEY – Kesunyian laut yang mula-mula menggentarkan remaja snorkeling itu, diikuti dengan rasa seram apabila dia melihat batu karang telah pudar daripada warna kaleidoskopiknya.

    Tapak yang pernah meriah di Terumbu Sawar Besar Australia ini — tapak yang sebelum ini dia samakan dengan ibu kota yang sibuk — telah menjadi bandar yang ditinggalkan, mangsa satu lagi kejadian pelunturan besar-besaran.

    Pada tahun 2020 itu, Ava Shearer keluar dari air dan menangis. Hari ini, dengan keluaran laporan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggambarkan masa depan Terumbu Sawar Besar, pelajar sains marin yang kini berusia 17 tahun dan jurupandu snorkeling tertanya-tanya apa yang akan tinggal daripada ekosistem yang terancam pada masa dia menamatkan ijazahnya di Universiti James Cook Australia.

    “Saya pasti bimbang tentangnya,” kata Shearer, yang dibesarkan di sepanjang keajaiban semula jadi yang tersenarai Tapak Warisan Dunia di luar pantai timur laut Australia itu. “Saya bimbang mungkin tiada apa-apa untuk saya pelajari.”

    Terdapat banyak perkara yang perlu ditakuti oleh dunia dalam laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) kelmarin, yang secara terang-terangan menyatakan bahawa Terumbu Sawar Besar sedang mengalami krisis dan mengalami impak besar akibat perubahan iklim, dengan pelunturan terumbu karang yang kerap dan teruk disebabkan oleh suhu lautan yang semakin panas. Peristiwa pelunturan paling teruk pada 2016, menjejaskan lebih 90 peratus terumbu dan berturut-turut insiden pelunturan yang telah menyebabkan bahagian utara dan tengah sistem terumbu dalam “keadaan yang sangat terjejas,” menurut laporan tersebut.

    Ava Shearer sewaktu menyelam di Great Barrier Reef, Australia pada tahun 2020. – AP

    Terumbu Sawar Gergasi ialah struktur hidupan terbesar di bumi – begitu besar sehingga dapat dilihat dari angkasa. – AP

    Terumbu Sawar Besar ialah struktur hidupan terbesar di planet ini — begitu besar, sebenarnya, ia adalah satu-satunya makhluk hidup di bumi yang boleh dilihat dari angkasa. Ia membentang lebih dari 2,300 kilometer dan merupakan habitat kepada lebih daripada 1,500 spesies ikan tropika serta ikan lumba-lumba, ikan paus, burung, dan juga kerang gergasi berusia berabad-abad. Semasa pra-pandemik, ia menyumbang AS$4.6 bilion kepada ekonomi setiap tahun, sebahagian besarnya berkat pelancongan dan biasanya menyokong sekitar 64,000 pekerjaan.

    Pelunturan itu akan berterusan di sepanjang terumbu karang adalah sesuatu yag pasti, menurut IPCC. Mungkin lebih teruk apabila laporan itu mencadangkan mungkin sudah terlambat untuk menghentikan pelunturan sepenuhnya. Walaupun komuniti global mencapai matlamatnya untuk mengehadkan pemanasan masa depan kepada 1.5 darjah Celsius sejak zaman pra-industri, itu masih tidak mencukupi untuk menghalang kejadian pelunturan besar-besaran yang lebih kerap, walaupun ia boleh mengurangkannya, menurut maklumat IPCC.

    Laporan itu meramalkan bahawa pemanasan lautan dan gelombang haba marin akan menyebabkan kehilangan dan kemerosotan terumbu karang cetek tropika, yang membawa kepada “kemusnahan meluas” ekosistem terumbu karang. Laporan itu menunjukkan tiga peristiwa pelunturan besar-besaran sebelum ini dari 2016 sehingga 2020 yang menyebabkan kemerosotan te-rumbu karang yang ketara dan memberi amaran bahawa terdapat “kepupusan besar-besaran” beberapa spesies terumbu karang.

    Bagi mereka yang sukar memahami betapa dahsyatnya pelunturan, penyelam, Tony Fontes menyamakannya dengan kebakaran di bawah lautan. Fontes, yang baru-baru ini bersara selepas 40 tahun sebagai pelatih menyelam di Terumbu Sawar Besar masih ingat menyelam di terumbu yang baru-baru ini dilunturi dan berenang dalam air yang telah bertukar menjadi putih susu hasil daripada tisu terumbu karang yang mati. Apabila muncul dipermukaan, dia akan diselubungi lendir.

    “Awda duduk di atas bot cuba membersihkannya dan sedar awda sedang berenang melintasi terumbu yang beberapa minggu lalu penuh dengan kehidupan dan bersemangat namun kini kebakaran belukar telah melaluinya menyebabkan batu karang mati. Tambahan lagi hidupan marin yang lain hanya perlu meneruskan atau mati,” katanya. “Ia adalah pengalaman yang sangat menyedihkan dan menyayat hati.”

    Namun di sebalik ancaman yang menjulang di negaranya sendiri, Australia telah ketinggalan di belakang negara kaya lain dalam prestasi pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan ikrarnya. Tahun lepas, sebuah badan pemikir iklim meletakkan Australia sebagai prestasi iklim paling teruk di kalangan negara maju setanding sejak perjanjian iklim Paris 2015 untuk mengehadkan pemanasan global.

    Isu ini penuh dengan politik di Australia, yang merupakan salah satu pengeksport arang batu dan gas asli cair terbesar di dunia serta salah satu pemancar gas rumah hijau tertinggi per kapita kerana pergantungan beratnya pada kuasa arang batu. Bulan lalu, kerajaan berjanji membelanjakan AU$1 bilion lagi dalam tempoh sembilan tahun untuk meningkatkan kesihatan terumbu, tetapi pengkritik berhujah bahawa wang itu tidak akan dapat menangani peningkatan suhu lautan, ancaman utama kepada terumbu karang. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...