Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Nicola Rosenblum telah melancarkan panel maklumat yang diperbaharui bagi Memorial Brunei-Australia 1945 di Pantai Muara, di sini, hari ini.
Memorial di Pantai Muara itu menandakan tapak di mana pada 10 Jun 1945, Tentera Bersekutu yang diketuai oleh Divisyen ke-9 Australia mendarat di Brunei sebagai sebahagian daripada kempen untuk membebaskan Borneo.
Panel itu menggariskan sejarah pendaratan 1945 dan melambangkan eratnya hubungan sejarah antara Australia dan Brunei.
Suruhanjaya Australia di Negara Brunei Darussalam dalam kenyataannya juga menyatakan bahawa pelancaran panel berkenaan juga adalah bersempena dengan ANZAC Day Dawn Services tahunan yang akan diadakan di Memorial Brunei-Australia, Pantai Muara esok (25 April 2017).
“Pada 25 April, Australia dan New Zealand menghormati wanita-wanita dan lelaki biasa dari kedua-dua negara yang telah bersedia untuk membuat pengorbanan luar biasa dalam peperangan, konflik dan operasi menjaga keamanan, untuk mempertahankan kebebasan dan nilai-nilai yang kita nikmati hari ini,” kata Nicola Rosenblum.

