Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Panggilan gangguan buaya meningkat

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Sebanyak 46 panggilan insiden gangguan binatang liar iaitu buaya yang telah direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) pada 2021.

    Sementara itu, dari Januari hingga 26 April 2022, jabatan itu telah menerima sebanyak 21 panggilan dan satu panggilan melibatkan korban jiwa bagi insiden mencari mangsa yang disambar oleh buaya.

    Gangguan binatang liar iaitu buaya yang semakin meningkat berkenaan adalah amat membimbangkan, menurut JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

    Kenyataan mendedahkan lagi bahawa daripada 21 panggilan berkenaan, 13 panggilan adalah di Daerah Brunei dan Muara, tiga panggilan di Daerah Tutong dan lima di Daerah Belait manakala itu, tidak ada panggilan bagi Daerah Temburong.

    Di samping itu, statistik Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan 2021, melaporkan sebanyak 31 kes merupakan aduan gangguan buaya di mana dalam usaha menangani isu berkenaan, Jabatan Perhutanan melalui pasukan bertindak telah melaksanakan pemasangan sebanyak 24 set perangkap bagi 2021 dan 13 set bagi 2022 dengan menggunakan kaedah rope/cable snare trap (jerat atau jerut), jail dan pukat di keempat-empat daerah mengikut lokasi yang telah dilaporkan.

    JBP memaklumkan, dari Januari hingga 26 April 2022, pihak jabatan telah menerima sebanyak 21 panggilan melibatkan insiden gangguan binatang liar iaitu buaya.
    Gambar menunjukkan anggota bomba semasa melakukan tugas menangkap seekor buaya yang masuk ke dalam kawasan longkang.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa setakat ini, hanya empat ekor buaya telah berjaya ditangkap.

    Terdahulu, JBP turut menyatakan bahawa daripada sumber Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam pada 27 April lalu, negara pada amnya cenderung panas pada waktu siang, manakala kejadian ribut petir berpotensi berlaku di kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam.

    Kejadian ribut petir, kadangkala lebat dan berangin kencang boleh berlaku dan terdapat risiko banjir kilat atau banjir semasa fasa peralihan Monsun berkenaan.

    JBP turut menyarankan orang ramai supaya memastikan persekitaran kawasan mereka dalam keadaan bersih dan teratur, sentiasa peka dan berwaspada apabila membuat aktiviti di kawasan sungai atau kawasan habitat binatang pemangsa lebih-lebih lagi di kawasan yang telah dipasang papan tanda amaran keberadaan buaya oleh pihak Jabatan Perhutanan serta mengelakkan menyimpan binatang peliharaan atau ternakan berdekatan dengan sungai dan adalah tidak digalakkan untuk memberi makanan kepada binatang buas berkenaan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada warga sekitar terutama di kawasan perumahan.

    JBP turut menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan untuk menghubungi talian 995 dan untuk memberikan maklumat yang tepat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...