Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) mencatatkan sebanyak 3,904 panggilan insiden gangguan binatang liar bagi 2020 manakala itu, dari Januari hingga 3 Mei 2021, jabatan berkenaan telah menerima sebanyak 1,197 panggilan.
Daripada panggilan gangguan binatang liar berkenaan, panggilan gangguan bagi tiga binatang liar teratas adalah ular, biawak dan buaya di mana bagi panggilan ular, sepanjang 2020, sebanyak 2,889 panggilan diterima, dan dari Januari hingga Mei 2021, sebanyak 932 panggilan.
Manakala itu bagi panggilan biawak, sepanjang 2020, sebanyak 236 panggilan diterima dan dari Januari hingga Mei 2021, sebanyak 89 panggilan diterima.
Bagi panggilan gangguan buaya pula, sepanjang 2020 sebanyak 51 panggilan diterima dan dari Januari hingga Mei 2021, sebanyak 17 panggilan.
JBP turut mendedahkan bahawa panggilan insiden gangguan binatang liar iaitu ular semakin meningkat di mana tiga jenis ular yang sering dilaporkan adalah ular jenis tedung selar, ular kapak dan ular sawa.

Statistik panggilan insiden gangguan binatang liar itu didedahkan oleh JBP menerusi kenyataan yang dikeluarkan, di sini, baru-baru ini.
Kenyataan menyatakan bahawa punca binatang-binatang liar seperti buaya, biawak dan ular adalah kawasan yang tidak bersih dan teratur di mana ia mengundang binatang kecil seperti tikus, rumput atau lalang yang terlalu panjang boleh menjadi tempat tinggal binatang liar berkenaan dan binatang ternakan atau binatang peliharaan yang boleh menjadi sasaran binatang liar berkenaan.
JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan persekitaran rumah mereka dalam keadaan bersih dan teratur, memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup semasa mereka tidak berada di rumah bagi menggelakkan binatang-binatang liar seperti anjing liar, ular, buaya dan monyet memasuki rumah.
JBP turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Mencegah Kebakaran, Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai juga disarankan untuk menghubungi terus talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.