Tuesday, August 9, 2022
26.8 C
Brunei

Panggilan ke talian kebajikan meningkat

-

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Setakat November 2021, Talian ANAK 121 telah menerima sebanyak 249 panggilan, dengan 99 aduan melibatkan kebajikan dan kemaslahatan kanak-kanak manakala Talian Kebajikan 141 menyaksikan peningkatan hampir 24,000 berbanding 15,381 pada tahun 2020.

Statistik itu dikongsi oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dalam ucapannya pada majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) untuk operasi dan penyelenggaraan pusat panggilan kebangsaan bagi Talian ANAK 121 dan Talian Kebajikan 141 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

MoU yang dimeterai antara KKBS melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), imagine Sdn Bhd dan Comquest Sdn Bhd itu merupakan kesinambungan kepada MoU yang telah ditandatangani pada Oktober 2019, antara KKBS dan TelBru, yang sekarang dikenali sebagai imagine.

Pada majlis itu, menandatangani bagi pihak KKBS ialah Hajah Nor Ashikin manakala itu, imagine diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju dan Pengurus AM Comquest Sdn Bhd, Guarav Shrotriya mewakili syarikatnya.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai bersama Hajah Nor Ashikin dan ketua pegawai eksekutif imagine serta pengurus AM Comquest sejurus majlis penandatanganan MoU tersebut.
Hajah Nor Ashikin (tengah) dan Dayang Suzannawati serta Guarav Shrotriya ketika menandatangani memorandum persefahaman.

Menurut Hajah Nor Ashikin, bagi Talian Kebajikan, berikutan pemberigaannya sebagai talian hotline bagi permohonan Sistem Kebajikan Negara (SKN), lebih 50 peratus panggilan diterima adalah pertanyaan mengenai tatacara memohon SKN.

Dalam situasi penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda pada masa ini, Talian Kebajikan 141 juga merupakan penghubung bagi orang ramai yang memohon bantuan catuan makanan, merangkumi hampir 17 peratus jumlah panggilan diterima.

Beliau seterusnya menegaskan, Talian ANAK 121 dan Talian Kebajikan 141 adalah talian bebas tol dan beroperasi 24 jam di Pusat Panggilan JAPEM dan segala maklumat yang diterima melalui kedua-dua talian itu adalah dirahsiakan.

Menurut KKBS, kerjasama yang telah dimeterai pada 2019 itu bukan sahaja melancarkan Talian ANAK 121 yang dikhususkan untuk kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam, bahkan menyediakan sebuah Pusat Panggilan JAPEM yang dilengkapi dengan sistem yang menyeluruh.

Setelah dua tahun penubuhan, ia telah menghasilkan impak yang amat signifikan terhadap meningkatkan kualiti perkhidmatan jabatan dan kementerian serta telah memberikan kemudahan kepada orang ramai, khususnya golongan kurang bernasib baik yang memerlukan pertolongan untuk menyalurkan dan mengongsikan pertanyaan dan aduan, berkaitan hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan mereka.

 

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -