Panggilan TD123 meningkat 97%

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Sejak 9 Ogos lalu, Talian Darussalam 123 (TD123) telah mencatatkan panggilan yang tinggi iaitu peningkatan sebanyak 97 peratus daripada lazimnya.

Dalam hal itu, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) memohon maaf atas sebarang kesulitan yang telah timbul daripadanya, khususnya dalam permohonan pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan. EGNC turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai atas kesabaran, kerjasama dan segala maklum balas yang diberikan setakat ini sebagai sebahagian usaha untuk menambah baik perkhidmatan yang sedia ada.

Perkara itu ditekankan oleh Pengarah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini.

Beliau menjelaskan, pelbagai usaha lanjut dirancang untuk memastikan peningkatan perkhidmatan-perkhidmatan yang berterusan kepada orang ramai termasuk penambahan kapasiti perkhidmatan TD123 daripada 62 orang ejen panggilan kepada 91 orang ejen bagi menampung jumlah panggilan yang semakin meningkat.

Penambahan kapasiti tersebut akan dibuat secara berperingkat iaitu bermula 23 September ini sehingga 7 Oktober depan.

Pada masa ini, ujar beliau, pengambilan dan latihan bagi ejen-ejen pusat panggilan tambahan sedang berjalan.

Dalam pada itu, TD123 juga telah melaksanakan penaiktarafan sistem pada 18 September lalu dari pukul 1 pagi hingga 3:30 pagi yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan sistem dalam mengendalikan aduan dan permohonan orang ramai melalui talian WhatsApp 8333123. Dengan itu, ejen-ejen panggilan media sosial berupaya untuk mengendalikan 10 kiriman WhatsApp sekali gus berbanding hanya lima kiriman sebelumnya.

Dalam pada itu, bagi proses perkhidmatan-perkhidmatan JPD yang dipohonkan melalui Talian Darussalam TD 123, sebagai usaha menyelaras penambahbaikan dan mempercepatkan proses yang sedia ada, beliau memaklumkan bahawa bermula 16 September lalu, TD123 kini sudah dapat mengakses Sistem Pengangkutan Darat (SPD) bagi pencarian maklumat (verification) untuk memberikan maklum balas secara terus menerus kepada pemohon.

Di kesempatan ini juga, pihak EGNC memohon kerjasama orang ramai untuk berinteraksi secara berhemah semasa berhubung dengan ejen-ejen panggilan TD123. Bagi sebarang maklumat lanjut dan sebarang perkembangan terkini, orang ramai bolehlah mengikuti media sosial TD123 melalui Instagram, Facebook dan Twitter @td123bn.