Panggilan video ubat rindu Baby Shima

Penyanyi yang menempa populariti di Indonesia, Baby Shima (gambar bawah), 28, menyambut Aidilfitri tanpa sebarang persiapan.

Hanya kesayuan bertandang di hati terkenang keluarga dan desa halaman nun jauh di mata. Tiada baju baharu, malah ketupat, lemang dan rendang juga tidak menghiasi meja sebagai juadah pagi raya seperti kelazimannya. Terkurung di Jakarta berikutan larangan merentas negara membuatkan impian penyanyi lagu Pura Pura Bujang itu pulang ke Masai, Johor lebur bagaikan debu.

Saban tahun, sesibuk mana pun menguruskan kerjaya seni di perantauan, Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli tetap akan pulang ke kampung menyambut Syawal bersama keluarga. Baginya, Aidilfitri lebih sempurna diraikan bersama keluarga tersayang. Namun, penularan pandemik COVID-19 menghalangnya pulang ke pangkuan keluarga.

Perlahan suara di hujung talian, Shima mengakui: “Ini adalah kali pertama saya meraikan Syawal di perantauan, jauh daripada keluarga tersayang.

“Jika teringin nak makan apa-apa, saya hanya membelinya sahaja. Saya cuba elak memasak juadah pagi raya kerana tak mahu mengundang kesedihan dalam hati.

“Sambutan Aidilfitri di Jakarta sama sahaja di Malaysia. Semua orang tidak boleh pulang ke kampung halaman berikutan COVID-19. Jadi, tiada apa yang istimewa,” katanya kepada media.

Biarpun, jauh di sudut hatinya terbit kesedihan mendalam, namun penyanyi yang meledak nama ketika menyertai program D’Academy Asia 3 anjuran Indosiar itu bersyukur keluarga memahami situasi berlaku seluruh dunia ketika ini. – Agensi