SINGAPURA, 16 SEPT – Starbucks Singapura hari ini berkata, pangkalan data pelanggannya telah digodam dalam talian, dengan media tempatan melaporkan bahawa maklumat 200,000 orang telah dicuri.
Rangkaian kedai kopi itu, francais Starbucks berlesen milik Maxim’s Caterers yang berpangkalan di Hong Kong, menyatakan dalam satu e-mel kepada pelanggan bahawa ia telah “mendapati… beberapa akses tanpa kebenaran” kepada butiran-butiran seperti nama, jantina, tarikh lahir, nombor telefon dan alamat rumah.
“Pihak berkuasa berkaitan telah dimaklumkan dan Starbucks Singapura membantu mereka dalam perkara ini,” menurut e-mel tersebut yang dilihat oleh AFP. Syarikat itu menyatakan bahawa ia menyedari mengenai pencerobohan itu pada 13 September, dan tiada butiran kad kredit telah dicuri kerana mereka tidak menyimpannya.
Ia menggesa pelanggan untuk menukar kata laluan mereka.
Sebuah agensi perhubungan awam yang mewakili Starbucks Singapura memberitahu AFP bahawa ia tidak dapat mendedahkan jumlah pelanggan yang terjejas.
The Straits Times menyatakan, data 200,000 pelanggan telah dicuri dan dijual menerusi forum dalam talian pada 10 September.
Satu salinan pangkalan data itu telah dijual pada harga S$3,500, tambah akhbar berkenaan. – AFP