Pangsapuri hospital terbakar

PARIS, 22 OGOS – Seorang wanita terkorban dan beberapa yang lain cedera selepas satu kebakaran besar terjadi di dalam kompleks hospital terkenal di luar Paris, menurut para pegawai Perancis hari ini.

Kebakaran terjadi lewat semalam di dalam sebuah pangsapuri di blok kediaman hospital Henri-Mondor di Creteil, kata jurucakap jabatan bomba Paris, Guillaume Fresse.

Api dengan pantas merebak ke bahagian lain bangunan 10 tingkat itu, yang menempatkan beberapa orang kakitangan hospital, menutup depan bangunan dan tangga, tambahnya.

Bagaimanapun, kebakaran itu tidak menjejaskan hospital tersebut, yang menjadi terkenal di pentas antarabangsa selepas menjalankan pemindahan wajah pertama di dunia pada 2010.

Kira-kira 100 anggota bomba bertarung dengan kebakaran itu selama lebih dua jam dan telah berjaya menyelamatkan 10 orang yang terperangkap di dalam bangunan sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 1:30 pagi waktu setempat.

Kelihatan anggota bomba cuba mengawal kebakaran sebuah pangsapuri di kompleks sebuah hospital terkenal di Paris. – AFP

Seorang wanita terkorban dan beberapa orang yang lain cedera termasuk dua anggota bomba, yang mengalami kecederaan serius semasa menjalankan operasi sukar itu, kata Fresse.

Secara keseluruhannya, kira-kira 50 orang berjaya dipindahkan dari blok itu.

Jun lepas, tiga orang maut dan 27 yang lain cedera dalam satu kejadian kebakaran di sebuah blok pangsa di pusat Paris.

Pada Februari pula, seorang wanita yang mengalami masalah psikiatrik memulakan satu kebakaran di daerah kaya Paris.

Kejadian itu telah mengorbankan 10 orang dan mencederakan 96 orang, menjadikannya kebakaran paling maut di ibu negara Perancis selama hampir 14 tahun. – AFP