Pangsapuri terbakar ragut 5 jiwa

MINNEAPOLIS, 28 NOV – Lima orang maut dan tiga cedera selepas kebakaran berlaku di tingkat 14 sebuah bangunan pangsapuri di kawasan kejiranan di Minneapolis awal pagi kelmarin.

Ketika punca kebakaran itu masih dalam siasatan, ketua anggota bomba, John Fruetel memberitahu wartawan bahawa penyiasat percaya kebakaran itu merupakan satu kemalangan, tetapi dia tidak menjelaskan punca kejadian itu berlaku. Bangunan yang terletak di Minneapolis itu dikenali sebagai Little Mogadishu di mana kebanyakan pendatang Somalia menetap di sana.

Fruetel berkata kebakaran itu tercetus di dalam kawasan bangunan dan merebak sehingga ke luar bangunan ketika petugas pemadam kebakaran tiba. Penggera kebakaran dibunyikan di seluruh bangunan, dan dari jarak jauh, api dapat dilihat menjulang tinggi antara 10 hingga 15 kaki (3 hingga 4.5 meter) dari tingkap di tingkat 14.

Semasa kejadian itu, tingkap-tingkap bangunan itu dalam keadaan terbuka dan ditambah lagi dengan angin yang bertiup sekali gus menyebabkan kebakaran itu merebak dengan pantas, tambahnya. – AFP

John Fruetel ketika bercakap kepada media di hadapan bangunan pangsapuri yang terbakar di Minneapolis pada 27 November. – AP