Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Panjat kelapa sebagai sumber pendapatan

    SETIU – Lazimnya, pemetik buah kelapa muda menggunakan tangga untuk memanjat pokok tinggi, namun seorang remaja di Kampung Mangkuk dekat Penarik di sini tidak memerlukan sebarang peralatan sokongan untuk melakukan pekerjaan itu.

    Lebih mengagumkan Mohammad Amin Abd Rahman, 19, mampu memanjat pokok kelapa setinggi 10 meter hanya dalam masa 15 hingga 20 saat berbanding orang lain yang memerlukan masa lima minit untuk memanjat ketinggian tersebut.

    Ketangkasannya itu menjadi sumber rezeki buat Mohammad Amin hingga mampu memperolehi pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

    Mesra dengan panggilan Amin, anak ketiga dari tujuh beradik itu berkata dia belajar memanjat pokok kelapa sejak berusia 14 tahun bagi membantu bapanya Abdul Rahman Dahat, 50, yang mempunyai kemahiran sama.

    “Secara purata, saya mampu memanjat antara empat hingga 10 pokok dan menurunkan antara 40 hingga 100 biji kelapa muda sehari di sekitar kampung ini.

    “Kelapa muda ini dijual RM1.50 sebiji kepada peniaga di sekitar daerah Setiu dan setakat ini permintaan amat menggalakkan kerana hanya saya satu-satunya pemetik kelapa muda remaja di kampung ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Pemetik buah kelapa lazimnya menggunakan tangga atau monyet untuk memanjat pokok yang tinggi, namun seorang remaja iaitu Mohammad Amin tidak memerlukan sebarang peralatan sokongan untuk melakukan pekerjaan itu. – Bernama

    Ditanya rahsia ketangkasannya memanjat pokok kelapa dalam masa sangat cepat tanpa sebarang peralatan sokongan, Amin berkata faktor latihan sejak usia masih muda dan teknik lekatan kaki di pokok banyak membantunya meningkatkan lagi kemahirannya.

    Tinggal di Kampung Mangkuk yang diisytiharkan kerajaan negeri sebagai kampung pelancongan pertama di Terengganu juga membolehkan bakat Amin itu dikagumi ramai termasuk pelancong dari luar negara.

    Amin berkata ada yang meminta izin untuk merakam gambar dan video ketika dia memanjat pokok kelapa dan menganggap momen itu sebagai ‘sumbangan kecilnya’ bagi memperkenalkan Kampung Mangkuk yang masih mengekalkan kebudayaan, kesenian dan warisan generasi terdahulu.

    “Siapa tahu dengan video dan gambar tersebut dapat menarik perhatian mereka untuk datang ke Terengganu dan merasai sendiri kehidupan sebagai ‘orang kampung’ dengan alam semula jadi yang masih terpelihara di sini.

    “Selain itu, ramai terkejut sebab saya panjat dengan cepat berbanding orang lain. Tambahan pula, jarang mereka lihat orang muda memanjat pokok kelapa. Ada juga cuba nak belajar, saya layan dengan cara baik kerana mereka adalah ‘tetamu’ di kampung ini,” katanya.

    Ditanya sampai bila mahu menjadi pemetik buah kelapa muda, Amin berkata buat masa ini dia masih selesa dengan pekerjaan itu kerana dapat tinggal serumah dengan keluarga dan berbakti kepada kedua ibu bapa.

    “Ada juga rakan dan saudara mengajak saya beralih angin mencari pekerjaan dalam bidang lain seperti perkilangan, pertukangan dan bidang kemahiran lain namun saya menolak dengan baik kerana terasa ‘sayang’ mahu meninggalkan kepuasan ketika berada di puncak tertinggi apabila memanjat pokok kelapa.

    “Mungkin satu hari nanti saya akan mengajar orang lain pula kerana tidak mahu kemahiran ini pupus dan mereka boleh memanfaatkannya untuk mencari rezeki,” katanya yang bersyukur kerana tidak pernah berdepan sebarang kejadian tidak diingini setakat ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...