Panjat kesyukuran sempena Hari Belia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Bersempena dengan Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-15 tahun ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Solat Fardu Maghrib Berjemaah dan Majlis Doa Kesyukuran, bertempat di Masjid Ash-Shaliheen, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib dan Solat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, Haji Mohd Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, diikuti dengan bacaan zikir dan doa bagi memohon kepada Allah SWT supaya terselamat daripada bala dan segala jenis penyakit yang dikepalai oleh Bilal Tingkat II, Masjid Ash-Shaliheen, Awang Mohd Syariff Wafiuddin bin Jemain/Jamain.

Manakala Doa Kesyukuran pula dibacakan oleh Haji Mohd Izzat Izzuddin.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw, selaku timbalan pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan kali ke-15, 2020; ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, KKBS, dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan kali ke-15.

Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ash-Shaliheen, belia-belia dari persatuan dan pergerakan belia, belia-belia masjid, kelab-kelab belia dan alumni program-program kebangsaan dan antarabangsa.

Dengan hasrat untuk terus menanai agenda pembangunan belia di negara ini, kaedah ‘whole of nation approach’ telah dipraktikkan agar semua pihak sama ada kerajaan, swasta, NGO, perusahaan sosial, pergerakan belia dan lain-lain berganding bahu dalam sama-sama merealisasikan agenda berkenaan dan agar golongan belia tampil sebagai aset negara dan seterusnya menjadi pemimpin generasi akan datang.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama jemaah lainnya ketika menunaikan solat Fardu Maghrib berjemaah sempena Hari Belia Kebangsaan ke-15 di Masjid Ash-Shaliheen kelmarin.
Antara jemaah wanita yang hadir pada majlis tersebut.