Oleh Nurdiyanah R. & Sim Y. H.
TUTONG, 2 Mei – Kegembiraan yang mendalam jelas terpancar di setiap wajah penerima anak-anak kunci rumah kluster dan teres di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang Daerah Tutong selepas impian untuk memiliki rumah sendiri tercapai berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Salah seorang daripada 451 orang penerima yang ditemui pada majlis penganugerahan anak kunci di Dewan Seri Kenangan, Daerah Tutong, hari ini, Dayang Ainaa Ayuni binti Haji Muhd Yunos, 41, telah melahirkan perasaan bersyukur kerana diperkenankan menjadi salah seorang penerima anak kunci rumah, yang sememangnya sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh beliau dan suami beserta anak-anak selama ini.
Berkat kesabaran di atas penantian selama ini sejak permohonannya pada tahun 1996, beliau amat berpuas hati dengan segala kemudahan yang dise-diakan adalah amat selesa untuk mereka sekeluarga berteduh dan belajar hidup berdikari, tambahnya, sebagai salah seorang penerima rumah teres di Jalan Paya Belambang.
Manakala Michelle Mangam anak Badon selaku wakil penerima bagi suami beliau, yang dianugerahkan rumah teres di Jalan Bukit Bilid, pula menyatakan kegembiraan yang tidak terhingga dengan adanya rumah tersebut. Ia setentunya dapat memberi kesenangan kepada suami dan anak-anak kerana sebelumnya masih menyewa di salah sebuah kediaman (berek) kerajaan di negara ini.
Beliau turut merakamkan perasaan teruja atas penerimaan anak kunci rumah yang dinanti-nantikannya selama lebih 10 tahun sejak permohonannya pada tahun 2008.
Sementara itu, salah seorang penerima rumah teres di kampung yang sama, Awang Hermanto bin Mustapha juga tidak melepaskan peluang untuk melahirkan rasa berbesar hati dan gembira di atas rezeki memiliki rumah sendiri melalui RPN ini sejak diperkenankan pada tahun 2018 lalu.
Beliau yang merupakan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut menjelaskan bahawa dengan adanya sebuah rumah yang selesa ini, ia bagaikan suatu lembaran baharu bagi beliau bersama isteri dan lima orang anaknya dalam hidup berkeluarga di samping kegembiraan dalam menjalin hubungan ukhwah sesama jiran tetangga.