Panjatkan doa dalam meniti krisis pandemik

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 25 OGOS – Ahli-ahli Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Tutong memanjatkan doa agar dilimpahi perlindungan dan rahmat Allah SWT dalam meniti krisis pandemik yang kian mencabar kini pada majlis bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Doa Menjauhi Wabak COVID-19 secara dalam talian, baru-baru ini.

Hadir selaku jemputan khas dalam majlis keagamaan yang diadakan buat kali kedua itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad yang telah disertai oleh lebih 30 orang ahli kumpulan tersebut.

Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai manakala bacaan Surah Yasin dan Doa Memohon Terhindar Daripada Wabak COVID-19 dipimpin oleh salah seorang ahli kumpulan, Awang Muhammad Darwasy Afiq bin Jalani.

Majlis diteruskan dengan bacaan tahlil yang diketuai oleh Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad juga salah seorang ahli kumpulan tersebut.

Turut mengikuti majlis berkebajikan berkenaan ialah beberapa orang awam antaranya daripada Kumpulan Muslimah Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam (PAHMA), Kampung Sengkarai, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong dan Kumpulan Belia-Belia Tutong.

Pada mengakhiri majlis, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan berkesempatan menyatakan kesyukuran dan harapan agar kegiatan seumpamanya sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa dan menjadi amalan semua.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan Yang Berhormat Awang Iswandy turut menyertai majlis tersebut secara maya.