Panjatkan doa kesyukuran

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-73 yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, petang tadi.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul Azim; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz selaku penasihat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73 dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan.

Turut menjunjung keberangkatan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan.

Antara pengisian majlis ialah sembahyang fardu Maghrib berjemaah, sembahyang sunat Hajat, membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran serta diteruskan dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan paduka-paduka anakanda serta paduka adinda berkenan memanjatkan doa kesyukuran sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73 pada Majlis Doa Kesyukuran di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, kelmarin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul Azim; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ketika berkenan menunaikan sembahyang fardu Isyak berjemaah semasa berangkat ke Majlis Kesyukuran Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-73, kelmarin.
Baginda Sultan ketika berkenan menerima junjung ziarah daripada orang ramai semasa keberangkatan ke Majlis Kesyukuran Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-73, kelmarin. Turut berangkat ialah paduka-paduka anakanda dan paduka adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Sembahyang fardu Maghrib, sembahyang sunat Hajat, bacaan Surah Yasin dan Tahlil telah diimamkan dan dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Manakala itu, Doa Kesyukuran pula dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Sementara itu, sembahyang fardu Isyak berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Para jemaah yang hadir turut tidak melepaskan peluang untuk menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja pada majlis berkenaan.

Selain tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, majlis serupa juga diadakan di masjid-masjid utama seluruh negara.

Majlis berkenaan merupakan sebagai pembuka acara bagi acara-acara keraian sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73.