Pantai Tanjung Bidara perlu kembali bersinar

ALOR GAJAH – Kalau 20 tahun lalu, pantai Tanjung Bidara sepanjang kira-kira 700 meter begitu meriah dikunjungi pengunjung dari serata tempat termasuk pelancong dari luar negara kerana keindahannya.

Keindahan pantai berpasir putih dan landai yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari bandar Masjid Tanah dan 2km dari Kem Terendak di bawah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu begitu ideal bagi pengunjung yang mahu merehatkan minda daripada kesibukan kota.

Selain dapat menikmati keindahan pantai, pengunjung juga boleh menyaksikan barisan kapal kargo yang saban hari melintasi Selat Melaka yang menghubungkan antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik menuju destinasi masing-masing.

Namun pantai Tanjung Bidara yang suatu ketika dahulu merupakan saingan kepada pantai Port Dickson selain pesaing terbarunya pantai Pengkalan Balak, kini suram tanpa pengunjung.

Bagi pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Tok Karim, 55, berkata kehadiran monyet antara penyebab utama pelancong beralih ke pantai Pengkalan Balak yang terletak kira-kira 4km dari pantai itu kerana haiwan berkenaan sering mengganggu pengunjung yang berkelah.

Pantai Tanjung Bidara yang suatu ketika dahulu merupakan saingan kepada pantai Port Dickson selain pesaing terbarunya pantai Pengkalan Balak, kini suram tanpa pengunjung. -Bernama
SURAM…Keadaan di Pantai Tanjung Bidara ketika tinjauan, baru-baru ini. – Bernama

Kelihatan seekor monyet berada di sekitar kawasan Pantai Tanjung Bidara ketika tinjauan, baru-baru ini. – Bernama

Tinggal di Kampung Padang Kemunting, beliau berkata selain bimbang dengan keselamatan anak kecil yang dibawa bersama, pengunjung juga resah dengan gangguan kehadiran haiwan berkenaan yang sering meminta makanan dibawa pengunjung.

“Masalah monyet ini dah berlaku lebih 10 tahun. Ia menyebabkan orang datang nak berkelah rasa tak selesa kerana sering diganggu. Kerana kurang pengunjung tempat ini kelihatan sedikit terbiar walaupun kerajaan negeri sebelum ini dah belanja banyak untuk bina kemudahan awam.

“Antara yang dibina termasuklah lot-lot kedai makan, gazebo untuk pengunjung berehat, tandas, bilik mandi, tempat meletak kereta dan sebagainya tapi orang tetap ke pantai Pengkalan Balak,” katanya kepada Bernama.

Bersetuju dengan Tok Karim, seorang penjawat awam Rosli Abd Saghir, 46, berkata kerajaan negeri perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah kehadiran monyet liar ke kawasan pantai tersebut agar ia kembali ‘hidup’ dengan kunjungan orang ramai.

“Kemudahan awam yang dibina kerajaan ini sebenarnya untuk menarik kehadiran pengunjung tapi mungkin ada gangguan monyet liar menyebabkan pengunjung beralih ke pantai Pengkalan Balak.

“Tak tahulah macam mana kerajaan nak menyelesaikan masalah ini. Pantai Tanjung Bidara ini amat menarik sebenarnya kerana terletak di kawasan teluk, jadi pantainya cetek dan ombak tak besar sangat, air juga jernih… sesuai untuk bawa keluarga berkelah dan mandi-manda,” katanya yang tinggal di Kampung Londang di sini.

Seorang pengunjung, Mohd Azmi Mohd Nor, 56, dari Setiawan, Perak berkata beliau pertama kali menjejakkan kaki ke pantai Tanjung Bidara namun hampa apabila ia tidak semeriah pantai Pengkalan Balak.

“Saya pernah mendengar mengenai pantai Tanjung Bidara ini ketika zaman muda dahulu. Kebetulan saya ke rumah anak di Kuala Sungai Baru jadi ambil kesempatan nak tengok kawasan pelancongan di sekitar Melaka.

“Saya akui kemudahan yang disediakan cukup baik tapi kecewalah kedai makan pun hanya satu yang buka. Mungkin situasi berbeza sedikit kalau saya datang pada hujung minggu,” katanya.

Pantai Tanjung Bidara terletak dalam kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang dianggap kerusi panas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu kerana menampilkan calon pemimpin kanan parti-parti politik dalam pertandingan tiga penjuru.

Ia membabitkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dari Barisan Nasional (BN) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Zainal Hassan daripada Pakatan Harapan (PH) yang dimenangi oleh Datuk Seri Abd Rauf.

DUN Tanjung Bidara mempunyai lima sekolah, tujuh masjid, 32 surau dan sebuah tokong, selain empat kawasan tumpuan pelancongan iaitu pantai Tanjung Bidara, Pantai Pengkalan Balak, Balai Cerap Al-Khawarzimi dan Pusat Konservasi Penyu.

Ia juga mempunyai sebuah Kolej Matrikulasi Melaka di Kampung Londang dan GIATMARA Masjid Tanah di Pengkalan Balak, dua jeti nelayan dan dua tempat rekreasi awam. – Bernama