Pantang mundur sebelum kalah

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Jurulatih DPMM FC, Adrian Pennock telah meletakkan Pasukan Albirex Niigata (S) dan Hougang United sebagai dua pasukan teratas dalam perlawanan kali ini menjelang pertembungan Pasukan DPMM FC menentang Albirex Niigata (S) dalam Piala Singapura di Stadium Jurong East di Singapura, esok.

Pasukan DPMM FC kini sedang memburu tempat teratas dalam Kumpulan B dan meraih satu mata sudah mencukupi untuk melayakkannya dalam pusingan seterusnya seiring dengan kejayaan yang diraih kumpulan itu setiap tahun.

“Bagi saya, mereka (Hougang dan Albirex) adalah pasukan terbaik dalam liga. Pasukan Albirex dengan cara permainan mereka mempamerkan kekuatan mereka di atas padang dan Pasukan Hougang pula jelas memiliki skuad yang hebat,” kata Pennock ketika temu bual bersama media di Stadium Mini Jerudong, baru-baru ini.

“Saya tahu jadual (liga) mungkin berbeza dengan Tampines berada di kedudukan teratas tetapi sepanjang musim ini, saya merasakan kedua-dua pasukan itu membawa lebih banyak saingan daripada mana-mana pasukan lain,” tambahnya.

Ditanya sejauh mana keyakinannya untuk membawa pasukan itu untuk terus meraih kejayaan, beliau berkata, “Ia akan menjadi rangsangan besar. Mudah-mudahan kami layak.

“Apa yang berlaku kepada tiga pasukan yang lain, kita perlu melihat apa yang akan berlaku,” kata bekas pengurus Gillingham itu.

Dalam perlawanan Kumpulan B yang lain, Hougang United akan beraksi menentang Geylang International esok.

Ketua jurulatih itu telah meletakkan sasarannya untuk memenangi piala tersebut selepas sahaja memenangi gelaran Liga Perdana Singapura baru-baru ini.

“Ia sesuatu yang bermakna jika kami berjaya memenangi perlawanan ini kerana itu adalah matlamat kami,” jelas Pennock.

Pasukan DPMM FC semasa menjalankan sesi latihan menjelang perlawanan menentang Pasukan Albirex Niigata.