Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 16 Mei – Bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai gejala penyalahgunaan dadah dan aktiviti yang tidak sihat, Jabatan Penerangan dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Pejabat Peguam Negara telah mengadakan Program Awasi Anak Kitani di Dewan Serba Guna Kampung Bukit, Mukim Ukong, Daerah Tutong, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penghulu Mukim Ukong, Haji Omar bin Abdul Aziz.
Program tersebut dimulakan dengan taklimat daripada Pegawai Undang-undang dari Pejabat Peguam Negara yang menyentuh mengenai jenayah siber yang kemudian disusuli dengan taklimat dari BKN mengenai keburukan dadah dan bagaimana menghadapi anak-anak yang telah terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat.
Sementara itu, pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri pula menyentuh mengenai tugas dan tanggungjawab jabatan berkenaan termasuk isu-isu keselamatan dalam negeri di bawah pantauannya.
Program berkenaan diwujudkan bagi menambah dan meningkatkan lagi kesedaran ibu bapa tentang isu-isu keselamatan dalam negeri dan mencegah serta mengawal anak mereka daripada terjerumus ke dalam kancah najis dadah.

