Wednesday, November 30, 2022
29.4 C
Brunei

-

Pantau buli siber, isu penipuan online

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN 28 OKT – Separuh daripada 1,326 responden terutama golongan berusia di bawah 30 tahun pernah mengalami buli siber, gangguan dalam talian atau doxing.

Dapatan itu merupakan hasil kajian mengenai tahap kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dalam talian anjuran Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) di bawah Cyber Security Brunei (CSB) menerusi kaji selidik dalam talian yang dilaksanakan pada 7 hingga 21 Jun.

Kaji selidik tersebut diberigakan kepada orang ramai menerusi akaun Telegram rasmi Gov.bn dan akaun media sosial BruCERT dan CSB serta semasa penyertaan BruCERT dalam Acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (MYCE 2022).

Kajian yang dibuka dalam tempoh dua minggu itu menerima sebanyak 1,326 respons secara keseluruhannya.

Sementara itu, kajian turut mendedahkan kebanyakan warga emas mudah terpedaya dengan isu penipuan dalam talian.

Pada tahun lalu, dapatan kaji selidik mendedahkan penipuan dalam talian hanya menjejaskan satu per tiga daripada responden yang berumur di bawah 30 tahun, tetapi separuh daripada jumlah responden iaitu golongan yang berusia lebih 60 tahun telah terjebak dalam kes tersebut.

Sehubungan itu, responden dalam lingkungan usia 60an adalah kumpulan umur paling lazim berdepan isu keselamatan siber tertentu di mana 50 peratus pernah ditipu dalam talian diikuti dengan 44 peratus berdepan phishing, smishing dan vishing serta ancaman pautan berniat jahat sebanyak 38 peratus dengan 34 peratus rampasan akaun.

Dalam kaji selidik berkenaan turut mendapati bahawa tiga jenis insiden keselamatan siber yang kerap dialami oleh responden sekitar tahun lalu ialah serangan malware, penipuan
dalam talian dan pelbagai bentuk phishing.

Kajian menunjukkan bahawa 86 peratus responden mempunyai kesedaran bahawa sesuatu insiden sekuriti siber seperti menjadi sasaran penggodam boleh terjadi kepada mereka manakala hanya 14 peratus responden percaya bahawa mereka tidak mungkin akan mengalami insiden sedemikian.

Di samping itu, sebilangan besar mereka yang menyatakan tidak mungkin akan menjadi sasaran kepada para penggodam itu terdiri daripada golongan kanak-kanak iaitu antaranya dalam lingkungan di bawah usia 18 tahun.

Kajian turut mendapati sebanyak 21 peratus responden terutamanya dalam golongan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun dilihat sangat terdedah dengan sikap ambil mudah tentang risiko memuat naik segala hal dalam talian di mana mereka mempercayai bahawa ia begitu mudah untuk dihapuskan selamanya jika mereka menginginkannya.

Walau bagaimanapun, sebanyak 96 peratus responden bersetuju agar semua pihak harus menitikberatkan tentang keselamatan siber di mana kebanyakan mereka turut mengenali tanda-tanda atau ciri-ciri berlakunya e-mel, mesej mahu pun panggilan telefon berunsur penipuan.

Dengan menitikberatkan kesedaran mengenai penipuan online itu, responden didapati turut melaksanakan langkah-langkah asas sekuriti siber bagi melindungi diri masing-masing di mana laporan mendedahkan tiga langkah teratas yang diambil oleh kebanyakan responden ialah antivirus, sambungan Wi-Fi selamat, dan penggunaan screen lock pada peranti.

Oleh itu, menerusi perbandingan dengan tahun-tahun sebelumnya, kajian turut menunjukkan trend positif dengan adanya peningkatan penggunaan langkah-langkah keselamatan siber oleh para responden.

Paling ketara, terdapat peningkatan dalam penggunaan personal firewall, virtual private network (VPN), dan menggunakan peranti berasingan untuk kerja dan aktiviti peribadi.

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Jutaan rakyat Bangladesh hilang tempat tinggal

DHAKA, 29 NOV – Berjuta-juta orang di Bangladesh hilang tempat tinggal dan mata pencarian akibat kesan perubahan iklim tahun ini hingga menyebabkan penghijrahan dalam negeri...

Polis kawal bandar utama China

- Advertisment -