Pantau kebersihan kedai-kedai makan

Saya sebagai pengguna di negara ini ingin menyuarakan satu perihal yang saya alami sendiri di sebuah kedai makanan baru-baru ini.

Kedai makan tersebut memang terbilang dengan kelazatan makanannya dan sememangnya selalu dipenuhi dengan pelanggan serta memiliki beberapa cawangan. Pada ketika itu saya berada di salah sebuah cawangannya dan saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan barang-barang yang ada di atas meja, di mana tempat saya duduk.

Saya melihat botol sos cili yang disediakan kelihatan sudah lama dan berkemungkinan botol tersebut dipakai berulang kali dan isinya saja diisi-ulang. Saya pun memanggil salah seorang pekerjanya dan bertanya tentang botol sos cili tersebut sama ada ia sos cili baharu atau tidak. Saya sebagai pelanggan perlu merasa was-was kerana dikhuatiri sos cili itu sudah luput tarikh dan boleh mengakibatkan keracunan.

Pekerja tersebut dengan yakin menyatakan ia baharu, namun saya tetap berkeras hati untuk meminta bukti ia baharu.

Saya terus bertanya berapa kali botol sos cili itu diisi ulang dan menegur botol itu sudah boleh ditukar dengan yang baharu. Saya faham, pihak restoran mahu menjimatkan kos tapi adakah perlu membuat pelanggannya keracunan makanan?

Justeru sejauh mana pihak berkuasa menjalankan pemantauan kebersihan sesebuah kedai makan di negara ini? Sedangkan benda tersebut terlalu nyata di depan mata. Saya menyuarakan perkara ini buka hendak menjatuhkan perniagaan sesiapa tetapi demi kepentingan bersama. Ini baru sebuah kedai, terdapat banyak kedai-kedai makan di negara ini tidak mustahil ada yang melakukan perkara yang sama. Saya berharap pantaulah sebaik-baiknya kebersihan kedai-kedai makan di negara ini.

Hadi Zahrin

Keadaan botol sos cili lyang dikongsikan oleh penulis.