Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN 15 April – Seramai 298 orang peserta daripada penduduk Kampung Sungai Akar dan kawasan sekitarnya hari ini menyertai Sesi 1 Pemantauan dan Tasmik bagi Majlis Khatam Al-Quran 72 Kali Khatam Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun 2018 anjuran Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah. Dalam sesi itu, seramai 169 orang terdiri daripada peserta yang berumur 41 tahun ke atas, 76 orang terdiri daripada belia berumur antara 18 hingga 40 tahun dan 53 orang peserta terdiri daripada kanak-kanak yang umur 17 tahun ke bawah.
Antara yang menyertai majlis tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Menurut pengerusi bersama, Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin bahawa 72 orang pentasmik adalah terdiri daripada kalangan guru-guru agama dan pembaca yang sangat baik bacaannya.
Setiap halaqah atau kumpulan dibahagikan kepada tiga hingga lima orang pentasmik, di mana setiap seorang penyelaras ketika dilantik bagi setiap halaqah bagi membantu penganjur mentadbir dan mengendalikan sesi-sesi tasmik dengan lancar dan teratur.
Sesi kedua bagi pemantuan dan tasmik ini akan diadakan lagi pada 6 Mei depan bermula pukul 5:30 petang, di mana pihak penganjur merancang akan mengadakan empat lagi sesi tasmik sebelum majlis khatam Al-Quran pada 19 Ogos nanti.



Sehubungan itu, peserta-peserta diseru untuk menghadirikan diri bagi menjayakan hasrat penganjur dalam mengimarahkan masjid dengan membaca Al-Quran secara beramai-ramai.
Projek ini merupakan anjuran bersama Majlis Perunding Kampung (MPK) Sungai Akar dan Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB).
Antara lain tujuan majlis ini diadakan adalah bagi menggalakkan penduduk-penduduk Kampung Sungai Akar dan kawasan sekitarnya membaca 30 juzuk Al-Quran untuk dikhatamkan di MRSB sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-72 tahun.
Selain itu, ia juga diadakan bagi mengenal pasti peserta yang memerlukan bimbingan membaca Al-Quran, sekali gus dapat menjalinkan usaha kerjasama dan silaturahim antara ahli-ahli MPK dan takmir masjid serta para peserta.
Majlis tersebut didahulukan dengan bacaan doa dan seterusnya diikuti dengan bacaan satu muka surat Juzuk 6 yang dipimpin oleh Haji Sa’ dullah bin Haji Salleh.
Majlis tersebut turut diserikan dengan tazkirah sempena Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh Pengiran Haji Abdul Basit bin Pengiran Haji Zaini.