Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    ‘Pantau kesan sosial akibat inflasi’

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Melangkah ke suku keempat 2022, risiko geopolitik terus menyebabkan kelemahan kepada pertumbuhan ekonomi global dan mengubah kebolehramalan pasaran kewangan.

    Di samping itu, kesan sampingan daripada konflik berterusan antara Rusia dan Ukraine juga mendorong kenaikan inflasi dan harga tenaga serta mempercepatkan inflasi melebihi ramalan.

    Inflasi terus menjadi kebimbangan global dan sebilangan besar bank-bank pusat di serata dunia mula memperketat dasar monetari, pada masa yang sama, mengambil kira kemungkinan dan akibat daripada kemelesetan ekonomi yang boleh menjejaskan pemulihan pasca pandemik dalam kebanyakan ekonomi serta risiko tambahan kepada korporat dan isi rumah yang mempunyai leveraj yang tinggi.

    Perkara itu diutarakan oleh Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar (gambar) semasa Taklimat Penyelidikan Global Standard Chartered untuk Separuh Tahun Kedua, 2022 yang berlangsung di The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.

    Beliau menyatakan pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menghuraikan baru-baru ini, keadaan perniagaan dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini telah menjadi gelap dan risiko kemelesetan ekonomi global juga meningkat.

    Hajah Rokiah (kiri) menerima cenderahati yang disampaikan oleh Pengiran Aki Ismasufian semasa Taklimat Penyelidikan Global bagi Separuh Tahun 2022 yang berlangsung secara hibrid di The Empire Brunei, Jerudong, kelmarin.

    Pada masa yang sama, kesan sosial daripada inflasi juga perlu dipantau dengan teliti dengan jurang ketidaksaksamaan pendapatan yang telah meningkat semasa pandemik COVID, berkemungkinan menjadi lebih teruk dengan harga yang meningkat dengan cepat.

    Di Negara Brunei Darussalam, harga yang meningkat dengan cepat sering menjadi bahan bualan harian dan walaupun inflasi keseluruhan meningkat pada kadar yang boleh diurus berbanding kebanyakan ekonomi utama di serata dunia, perniagaan dan isi rumah juga perlu untuk merubah corak kos dan perbelanjaan mereka secara signifikan.

    Hajah Rokiah menyatakan kebanyakan perniagaan yang ditemu ramah dalam Kajian Indeks Sentimen Perniagaan bulanan BDCB telah mengongsi kebimbangan mereka berhubungan kos operasi yang meningkat, disebabkan oleh bahan mentah lebih mahal serta kos logistik dan pengangkutan tinggi yang telah mengurangkan margin keuntungan mereka.

    Walaupun kadar inflasi yang agak tinggi pada suku pertama 2022 iaitu secara purata 3.3 peratus, ekonomi domestik dijangka dapat bertahan dengan baik pada 2022 dengan hasil pendapatan kerajaan lebih tinggi daripada harga minyak yang tinggi, pengurangan sekatan COVID serta projek-projek pelaburan langsung asing (FDI) yang sedang berjalan.

    Setelah penguncupan 1.6 peratus pada 2021, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi meramalkan kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah dalam lingkungan 0.4 kepada 0.8 peratus pada 2022.

    Sektor bukan minyak dan gas dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama yang menyumbang antara 6.3 kepada 7 peratus manakala sumbangan sektor minyak dan gas dijangka akan merosot kira-kira 5.2 peratus.

    Hajah Rokiah menyatakan isu-isu yang hadir itu mungkin luar biasa bagi entiti di serata dunia tetapi ia juga membawa pengajaran yang amat penting iaitu daya tahan di mana ia merupakan keupayaan untuk menahan ancaman atau perubahan yang tidak dapat diramalkan dan bagi keluar daripadanya dengan lebih kuat.

    Beliau menyatakan inisiatif pendigitalan dan kepelbagaian kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seperti digariskan dalam Pelan Induk Ekonomi Digital dan Pelan Tindakan Ekonomi sedang dilaksanakan untuk menyokong pembangunan ekonomi masa hadapan yang akan memacu pertumbuhan mampan negara.

    Pada masa yang sama, rangka kerja dan infrastruktur yang sepadan dijangkakan mampu untuk menghadapi kejutan yang diakui dan tidak dijangka, ulasnya lagi.

    Melengkapi inisiatif-inisiatif itu, BDCB meneruskan usaha untuk mengembangkan dan mempelbagaikan lagi sektor perkhidmatan kewangan yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi.

    Menerusi strategi-strategi yang diketengahkan dalam Pelan Tindakan Sektor Kewangan dan Peta Jalan Pembayaran Digital, mereka berharap untuk menjana sebuah persekitaran kondusif yang dapat memupuk pertumbuhan sebuah sektor perkhidmatan kewangan yang dilengkapi dengan keupayaan untuk menangani kejutan dan kelemahan.

    Seperti kebanyakan bank pusat atau pengawal selia, BDCB juga telah mengukuhkan rangka kerja kawal selia dan meletakkan perlindungan berhemat yang penting.

    “Institusi kewangan adalah lebih mantap dan terus selamat serta kukuh, seperti mana yang kita telah saksikan sepanjang dua tahun kebelakangan ini. Tetapi kita tidak akan leka kerana rangkaian peristiwa pada masa ini, tidak pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.

    Hajah Rokiah berkata dengan kolaborasi aktif antara penggubal dasar dan pemain industri, kita akan bangkit daripada masa yang mencabar ini, berdiri tegak, memandangkan masalah yang dihadapi oleh pasaran kewangan dan ekonomi global berkemungkinan berterusan untuk seketika.

    “Walau bagaimanapun, apa yang mentakrifkan kita adalah tindak balas dan strategi dalam mengharungi masa bergelora ini,” tekannya.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...