Thursday, November 30, 2023
23.3 C
Brunei

    -

    Pantau penggunaan tenaga elektrik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Statistik Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) menunjukkan dari Januari 2021 hingga April 2022, sebanyak 60 kes yang melibatkan kebakaran berpunca daripada bebanan penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan atau berpunca daripada peralatan pengguna.

    Antara punca kebakaran elektrik ialah disebabkan oleh penggunaan penyambungan mudah alih (extension cable) yang berlebihan atau melebihi kapasiti, fogging machine yang ditinggalkan, litar pintas, lebih beban, penyambungan yang longgar dan pendawaian yang sudah usang.

    Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Awang Muhammad Amir Sharifuddin bin Haji Ali semasa sidang media bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik mengenai keselamatan kebakaran elektrik menjelang Hari Raya, baru-baru ini.

    Beliau berkata lagi, dalam sama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, JPE ingin menyarankan kepada orang ramai agar sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dan bijak dalam penggunaan bekalan elektrik bagi memastikan tidak berlakunya pembaziran dan mengelakkan daripada terjadinya bebanan berlebihan ke atas bekalan tenaga elektrik yang boleh menyebabkan kebakaran dan mengakibatkan kerugian harta benda.

    Ke arah itu, jelasnya lagi, orang ramai boleh mengamalkan beberapa langkah untuk mengelakkan berlakunya kebakaran elektrik di mana antaranya ialah dengan tidak menggunakan peralatan elektrik secara berlebihan pada satu masa, mematikan suis peralatan elektrik seperti lampu, water heater, alat pendingin hawa, kipas angin dan televisyen jika tidak digunakan, dan tidak membiarkan lampu-lampu cucul dinyalakan berpanjangan.

    Beliau berkata bahawa JPE juga ingin menasihatkan orang ramai untuk menitik beratkan aspek keselamatan terutamanya dalam kerja-kerja pendawaian atau tambahan ke atas pendawaian di premis persendirian atau perniagaan.

    Beliau menekankan bahawa sebarang kerja tambahan pendawaian mestilah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada jabatan berkenaan dan kerja-kerja pendawaian itu hendaklah dibuat oleh kontraktor yang berdaftar dengan JPE.

    Orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan dan pengujian ke atas pendawaian elektrik di premis persendirian dan perniagaan iaitu setiap 10 tahun bagi premis persendirian manakala setiap lima tahun bagi premis perniagaan.

    “Keperluan bagi pemeriksaan dan pengujian pendawaian elektrik hendaklah dilaksanakan oleh jurutera profesional yang berdaftar dengan Board of Architects, 3 Professional Engineers and Quantity Surveyors (BAPEQS), Kementerian Pembangunan dan boleh didapati di laman sesawang www.bapeqs.gov.bn,” jelasnya.

    Antara punca kebakaran elektrik adalah disebabkan penggunaan penyambungan mudah alih (extension cable) yang berlebihan atau melebihi kapasiti, fogging machine yang ditinggalkan, litar pintas dan lain-lain.- Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Australia buat permohonan maaf kepada mangsa thalidomide

    SYDNEY, 29 NOV - Australia hari ini mengeluarkan permohonan maaf kepada mangsa yang terselamat daripada skandal ubat thalidomide, yang disifatkan oleh Perdana Menteri, Anthony...