Pantau perkembangan kesihatan pelajar setiap hari

PENAMPANG, 29 JUN – Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memantau perkembangan kesihatan para pelajar termasuk guru-guru dan pengawal keselamatan di semua sekolah setiap hari.

Mohd Shafie berkata Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christian Rundi telah dimaklumkan bahawa laporan penuh mengenai perkembangan kesihatan di semua sekolah yang beroperasi ketika ini perlu dihantar kepadanya dari semasa ke semasa.

Beliau berkata ia penting bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan dan kesihatan semua pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah sentiasa terjamin dan bebas daripada jangkitan wabak COVID-19.

“Saya ingin mengetahui laporan itu supaya memastikan jangan ada dalam kalangan mereka dijangkiti wabak ini (COVID-19) kerana ia boleh menjejaskan usaha untuk membuka (semula) sesi persekolahan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin di sini, hari ini.

Pembukaan semula sekolah di Sabah melibatkan 236 sekolah iaitu 221 sekolah menengah kerajaan dan selebihnya sekolah menengah swasta, membabitkan 16,703 guru memulakan tugas di sekolah masing-masing dengan 45,065 pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia. – Bernama