Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pantau rapi pelajaran agama

    Oleh Pg Fairol RMF

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Mutu bacaan Al-Quran dan kesempurnaan ibadat sembahyang dalam kalangan pelajar di semua peringkat persekolahan dan pengajian masih lagi lemah dan ini amat membimbangkan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melahirkan kebimbangan itu semasa bertitah di Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1438 Hijrah/2017 Masihi di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas malam ini.

    Baginda bertitah, untuk mengatasi kelemahan ini, pelajaran agama yang ada setakat ini hendaklah terus dipantau dan sentiasa dinilai keberkesanannya.

    Ini kerana berdasarkan kajian yang dibuat oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan menunjukkan kira-kira 81 peratus murid-murid dan pelajar tidak menjalankan ibadah sembahyang secara konsisten, manakala 4 peratus lagi tidak pernah mengerjakan sembahyang.

    Dalam pada itu, dalam pembacaan Al-Quran pula, hanya 41 peratus sahaja yang membacanya secara konsisten, sementara 65 peratus lagi masih kurang berkebolehan membaca dengan bertajwid.

    Baginda Sultan bertitah melahirkan kebimbangan kelemahan pelajaran agama di negara ini.
    Baginda Sultan bertitah melahirkan kebimbangan kelemahan pelajaran agama di negara ini.

    “Daripada statistik ini, menunjukkan subjek sembahyang dan Al-Quran masih perlu dipantau rapi, kerana masih wujud kelemahan dan kelemahan ini sudah tentulah berpunca daripada faktor pengajaran dan pengawasan yang kurang berkesan,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Baginda menekankan, jika guru lemah dan sistem pincang, maka murid-murid dan pelajar pasti lemah dan pincang yang menjadi rahsianya. Untuk itu, janganlah diabaikan sama sekali faktor guru dan sistem, jika berlaku kelemahan, mana segeralah memeriksa guru dan sistem, bukannya menyalahkan para pelajar.

    “Guru dan sistem ibarat ‘acuan’ sementara murid-murid dan pelajar pula adalah hasil acuan itu. Kalau acuan bagus, tentu sahaja apa yang terhasil akan pasti bagus juga.

    “Kerajaan Beta telah pun mewajibkan pendidikan agama menerusi persekolahan agama dan persekolahan umum dan dasar ini disambut baik oleh ibu bapa. Buktinya orang ramai khasnya ibu bapa begitu ghairah terhadap pendidikan agama, sehingga selain menyekolahkan anak-anak ke sekolah agama, ada juga ibu bapa yang sampai menggunakan khidmat guru private bagi mengajar anak-anak mereka mengaji Al-Quran dan membaiki amali sembahyang. Ini juga sangat bagus. Cuma tinggal saja lagi, orang ramai dan pihak-pihak berkenaan, hendaklah memastikan, yang guru-guru private itu, sama ada mereka berjawatan guru agama ataupun jawatan-jawatan khas lain adalah dikehendaki untuk mempunyai tauliah mengajar Al-Quran atau agama daripada Majlis Ugama Islam,” tegas Baginda. Baginda turut bertitah, ini selaras dengan ketetapan undang-undang, tujuannya bukan saja untuk menjamin mutu pengajaran, malah juga untuk mengawal kesahihan ajaran agama menurut fahaman dan amalan kita di negara ini.”Berbalik tentang kerisauan kita mengenai hasil kajian sembahyang tadi. Perkara ini janganlah dipandang ringan, tetapi perlu ditangani secara bersepadu oleh semua agensi berkenaan seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.”

    Baginda Sultan bertitah menyeru agar kelemahan sekolah diperbaiki dan ditingkatkan penghayatan oleh pihak-pihak tertentu dalam masyarakat, misalnya ada pihak, sama ada agensi kerajaan atau bukan kerajaan apabila mengadakan satu-satu program atau acara, mereka tidak mengambil kira keperluan menunaikan sembahyang bagi peserta-pesertanya.

    “Para peserta itu biasanya terdiri daripada anak-anak sekolah, para pelajar, belia dan lain-lain peserta. Ini tidak boleh terus berlaku. Jika sudah pernah berlaku, jangan diulang lagi. Fahamilah, bahawa ibadat sembahyang itu adalah fardu ‘Ain, wajib ditunaikan pada waktunya. Apa pun jua program atau acara, tidak boleh jadi alasan untuk meninggalkan sembahyang,” tegas Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda