Papa penat tapi dia seronok – Dafi

“Biarpun Papa penat, tapi dia seronok dengan kerjanya sekarang.”

Itu reaksi penyanyi, Dafi apabila ditanya mengenai ayah, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sering muncul di kaca televisyen (TV) berkongsi perkembangan terkini penularan COVID-19 dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dafi atau nama sebenar, Gadaffi Ismail Sabri berkata, dia seronok melihat bapanya membuat ‘comeback’ selepas lebih setahun berehat daripada dunia politik.

“Saya seronok lihat Papa bekerja sekarang. Biarpun dia agak penat kerana bekerja berhabis-habisan, Papa gembira dengan apa yang dilakukan.

“Sebelum ini, selama setahun setengah, Papa berehat daripada melakukan apa yang dia suka. Jadi, sekarang, apabila dia kembali buat apa yang disukai, kami sekeluarga seronok.

Dafi gembira melihat bapanya kembali aktif dan melakukan pekerjaan yang disukainya. – Agensi

“Sepanjang tempoh kerajaan menangani COVID-19, saya lihat Papa kerja bersungguh-sungguh. Sebagai anaknya, saya berbangga apatah lagi selepas ramai yang meluahkan penghargaan kepada Papa,” katanya kepada BH Online.

Mengaku tidak iri hati melihat Papa lebih popular berbanding dirinya sekarang, Dafi tersentuh dengan kesungguhan bapanya bekerja biarpun kadang-kala berdepan kritikan rakyat.

Dafi berkata, dia terhibur apabila warganet membangkitkan soal penampilan bapanya pada sidang media, malah menyamakan kemeja dipakai dengan kuih-muih.

“Membaca komen warganet membuatkan saya tergelak. Sebenarnya, Papa sudah lama ada koleksi baju begitu, bukan baru pakai untuk menarik perhatian orang ramai,” kata bekas peserta musim kelima, Akademi Fantasia (AF) ini.

Mengenai pelaksanaan PKP dan PKPB, Dafi kecewa mendapati ada kes individu mengingkarinya, sedangkan petugas barisan hadapan bekerja keras mengawal penularan COVID-19 dan memastikan rakyat selamat.

“Saya risau apabila menyedari Papa turut berhadapan dengan risiko jangkitan kerana Papa adalah petugas barisan hadapan.

“Jadi, apabila mendapat tahu masih ada pihak tidak dengar arahan, saya kecewa. Petugas barisan hadapan bertarung nyawa untuk memastikan semua orang selamat, jadi hargailah mereka dengan duduk di rumah,” katanya. – Agensi