Papan luncur hanyut ditemui di Filipina

MANILA 21 SEPT – Apabila peluncur ombak, Doug Falter hilang papan luncurnya selepas dihempas ombak, dia meletakkan harapan agar nelayan tempatan menemuinya dan tidak pernah membayangkan ia akan ditemui lebih 8,000km jauhnya di selatan Filipina.

Lebih dua tahun selepas melihat papan luncur ombaknya hilang ditelan ombak besar di Teluk Waimea, Falter dimaklumkan melalui media sosial bahawa ia ditemui berhampiran pulau terpencil Sarangani.

Dan pemilik baharunya – seorang guru sekolah rendah dan peminat sukan luncur ombak, yang membelinya daripada nelayan tempatan – Giovanne Branzuela dengan gembiranya mahu mengembalikannya semula kepada Falter. “Apabila saya melihat gambarnya, saya seakan tak percaya, menyangka ia satu jenaka,” Falter, 35, memberitahu AFP melalui Zoom. “Saya hampir pasti papan itu tidak akan ditemui semula.”

Meskipun hanyut berbulan-bulan lamanya di Lautan Pasifik, nama pembuat papan luncur berpangkalan di Hawaii, Lyle Carlson masih kelihatan di permukaannya yang kini kekuningan. Dengan perasaan ingin tahu, Branzuela mencari nama itu di Facebook dan menghantarnya gambar papan itu. Carlson mengongsi gambar itu di Instagram, dengan mengeteg nama Falter.

Branzuela dan Falter semenjak itu mula bersembang di Facebook dan Falter merancang mengunjungi pulau kecil itu untuk mendapatkan papan luncurnya sebaik sekatan perjalanan koronavirus dibatalkan. – AFP

Branzuela bersama papan luncur milik Falter yang hanyut dari Hawaii ke Filipina. – AFP