Papar iklan tanpa kebenaran, syarikat didenda

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Dua buah syarikat pengiklanan telah dikenakan kompaun oleh Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) atas kesalahan memaparkan iklan tanpa kebenaran, hari ini.

Menurut kenyataan ABCi, Syarikat Digimark Enterprise dikenakan kompaun $1,000 kerana memaparkan iklan tanpa kebenaran di kawasan Jalan Gadong.

Manakala itu, Tai Wang Advertising Services dikenakan dua kompaun berjumlah $2,000 iaitu memaparkan iklan tanpa kebenaran di dua buah bangunan di Kiulap.

Kedua-dua syarikat berkenaan diberikan tempoh selama 14 hari untuk menjelaskan denda kompaun itu.

Sehubungan itu, ABCi menasihatkan orang ramai untuk memastikan syarikat pengiklanan yang dilantik mempunyai pendaftaran yang sah.

Selain itu, mana-mana papan tanda perniagaan atau papan-papan iklan yang dipaparkan di luar kawasan premis perniagaan hendaklah mendapatkan kebenaran mengikut Peraturan Kawalan Bangunan (Iklan, Papan Iklan dan Papan Tanda) 2016.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.abci.gov.bn.

Penguat kuasa ABCi semasa membuat pemeriksaan di salah sebuah syarikat pengiklanan. – Gambar serahan ABCI