Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Syarikat telekomunikasi dan teknologi, Par Corporation Sdn Bhd telah menghulurkan sumbangan kepada tiga buah badan kebajikan bukan kerajaan pada majlis yang berlangsung di Pejabat Par Corporation, Batu Satu, hari ini.
Pada majlis itu, sumbangan kewangan sebanyak $2,000 telah diserahkan kepada Persatuan KACA, SMARTER Brunei dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Hadir menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Mun’im bersama Pengarah Eksekutif Syarikat PAR Corporation, Pong Seh Woei.
Menurut syarikat berkenaan, sumbangan tersebut merupakan salah satu aktiviti kebajikan syarikat setiap tahun dalam membantu badan-badan bukan kerajaan dan ia juga merupakan program tanggungjawab sosial korporat syarikat sempena bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Majlis diteruskan dengan Majlis Iftar bersama jemputan khas yang berlangsung di salah sebuah restoran berdekatan.