Sunday, December 15, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Para pelaut dinasihatkan peka amaran cuaca

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Dua ribut tropika, Kompasu dan Namtheun yang dikesan di kawasan utara Filipina pada pukul 11 pagi tadi, tidak akan menjejaskan cuaca Negara Brunei Darussalam secara langsung.

    Walau bagaimanapun, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) memaklumkan Kompasu secara tidak langsung akan menyebabkan keadaan cuaca sedikit berangin dengan hujan sekali-sekala melintasi beberapa kawasan darat dan perairan negara dengan kelajuan angin meningkat sehingga 45kmsj untuk beberapa hari akan datang.

    Keadaan laut pada amnya dijangka berada di paras sedikit hingga sederhana dengan ketinggian ombak meningkat sehingga 1.6m, tambah BDMD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

    Dalam kenyataan itu, BDMD menyatakan Ribut Tropika Kompasu dikesan berada di kawasan utara Filipina, sekitar 1,637km jauh dari negara ini dan Ribut Tropika Namtheun berada di Lautan Pasifik Barat, sekitar 4,440km jauh.

    Kompasu dijangka bergerak ke arah barat manakala Namtheun dijangka bergerak ke arah barat laut dan kedua-dua ribut tropika ini dijangka bergerak menjauhi negara kita.

    Sehubungan itu, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil perhatian akan risiko bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

    Orang ramai terutamanya para pelaut juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).

    Ramalan lokasi dan trek Ribut Tropika Kompasu. (Sumber: Joint Typhoon Warning Centre, Hawaii)
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda