KUALA LUMPUR, 13 JUN – Kesemua pemain badminton Malaysia yang mengalami keracunan makanan di Jakarta, Indonesia minggu lalu, telah pulih daripada penyakit itu.
‘Musibah’ yang berlaku itu ternyata menjejaskan cabaran Malaysia dalam Kejohanan Badminton Masters Indonesia baru-baru ini.
Hanya beregu wanita nombor satu Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada naib juara dari Indonesia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Ramadhanti dengan keputusan 23-21, 14-21, 14-21.
Seramai 16 atlet Malaysia terjejas akibat keracunan makanan itu.
Ini termasuk dua pemain beregu lelaki Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani yang terpaksa beraksi dalam kesakitan sebelum tersingkir di suku akhir.
Wooi Yik yang bergandingan dengan Aaron Chia mengalami kekalahan mengejut kepada pemain nombor 424 dunia, Liang Wei Keng dan Wang Chang dari China, 16-21, 21-13, 21-17.
Nur Izzuddin bersama Goh Sze Fei pula tunduk kepada beregu utama dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo, 10-21, 21-11, 21-18.
Di sebalik kejadian itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Bad-minton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky memberitahu Bernama, kesemua pemain berhasrat untuk beraksi lagi di Jakarta, kali ini pada Terbuka Indonesia 2022.
Ketika ditanya sama ada kejadian itu akan memberi kesan negatif kepada prestasi pemain pada Terbuka Indonesia, Rexy berkata: “Saya nampak tidak ada”. – Bernama